malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Piala Gothia jadi cabaran Jeonsa FC julang Malaysia
Diterbitkan:  Mar 24, 2017 5:06 PM
Dikemaskini: 9:09 AM
ADS

Kelab Jeonsa FC yakin mereka berada di landasan tepat mewakili negara bagi menyahut cabaran Piala Gothia di China, Ogos nanti.

Susulan penganjuran Cabaran Antarabangsa Jeonsa (JCIC) 2017, Presidennya Mohd Arifin Adenan berkata, pihaknya begitu berbesar hati sekali gus menyatakan kesediaan kelab itu untuk mengharumkan imej Malaysia di kejohanan remaja kedua terbesar dunia itu.

"Ia satu penghormatan besar buat kelab ini menganjurkan pertandingan besar dan menarik penyertaan pasukan berstatus antarabangsa yang mana kita namakan sebagai Pra-Gothia Cup China.

"JCIC 2017 satu platform persiapan terbaik buat semua pasukan. Pemain-pemain yang beraksi di sini adalah masa depan bola sepak negara masing-masing dan bakal beraksi di satu kejohanan remaja terbesar dunia.

"Kita harap ianya memberi manfaat kepada semua pasukan dan InshaAllah Jeonsa sendiri mempersiapkan satu pasukan terbaik untuk membawa cabaran di Gothia," kata Arifin.

Menuurt beliau, Jeonsa pernah membawa imej Malaysia di Kejohanan Soong Chin Ling di Beijing tahun lalu dan muncul sebagai naib juara.

"Jadi sudah tentunya saya sasarkan kita mampu berikan tentangan sengit dan sedaya upaya mengharumkan nama Malaysia," ujarnya.

Terdahulu, Kejohanan JCIC 2017 yang berlangsung selama dua hari melabuhkan tirainya pada Khamis lalu dengan gelaran juara menjadi milik Chelsea Soccer School Hong Kong (kategori B-16) dan wakil Malaysia, Black Tigers FC dari Pulau Pinang (kategori B-14).

Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Latihan Jeonsa, Kampung Baru, Chelsea Soccer School menundukkan satu lagi wakil Malaysia dari Negeri Sembilan, Affimaz FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah permainan masa sebenar berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Manakala Black Tigers, dibarisi pemain-pemain dari Sekolah Sukan Pulau Pinang yang menjuarai Jeonsa Cup pada bulan lalu sekali lagi membuktikan keunggulan apabila muncul juara dengan menundukkan kelab Akademi Bolasepak Nasional Indonesia (INFA) 1-0.

Tuan rumah Jeonsa pula menduduki tempat kelima (kategori B-14) dan tempat ketiga kategori B-16.

Sebagai rekod, JCIC 2017 membabitkan penyertaan pasukan-pasukan dari Malaysia (Jeonsa FC, Black Tigers, Affimaz FC, Sanas FC dan TS United), Indonesia (INFA dan DPFF), Hong Kong (Chelsea SS) dan Thailand (Khlongluang FC).

Jeonsa dan pasukan-pasukan tersebut juga bakal mengambil bahagian di Piala Gothia, China Ogos nanti.
 

Lihat Komen