malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Zainal Abidin jurulatih baru Harimau Kumbang
Diterbitkan:  Mar 24, 2017 2:53 PM
Dikemaskini: 7:50 AM
ADS

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mengumumkan pelantikan Zainal Abidin Hassan, sebagai Ketua Jurulatih pasukan Pulau Pinang.

Presidennya Zairil Khir Johari berkata, ‎dengan kehadiran Zainal Abidin pihaknya percaya pasukan itu telah menemui seorang jurulatih berpengalaman yang mampu memulihkan kembali semangat pemain.

Zainal juga diharap memastikan Pulau Pinang akan kekal dalam Liga Super pada hujung musim ini.

"Pihak FAP mengalu-alukan kehadiran beliau selaku seorang pemain legenda yang telah mengharumkan nama negara pada zaman kegemilangan bola sepak Malaysia suatu ketika dahulu.

‎"Saya amat gembira dengan kehadiran Zainal Abidin bersama Pulau Pinang kerana sudah lama memerhatikan karier bola sepak beliau, sebagai pemain legenda dan sebagai jurulatih berpengalaman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu FAP menamatkan kontrak pengendali dari England, Ashley Westwood selepas prestasi hambar ditunjukkan Harimau Kumbang sejak awal musim ini.

Zairil berkata, beliau yakin barisan pemain Pulau Pinang mempunyai kemahiran dan kebolehan untuk meneruskan saingan musim ini.

"Cuma mereka memerlukan panduan motivasi dan inspirasi serta arah tujuan setelah agak kucar-kacir pada awal musim permainan tahun ini," katanya.

Sementara itu, sebagai rekod Zainal Abidin‎ memulakan karier dalam bidang kejurulatihan sebagai pembantu jurulatih pasukan Selangor pada tahun 2000 dan kemudian berhijrah ke Pahang pada tahun 2004.

Zainal Abidin sebelum ini berkhidmat sebagai pengendali pasukan Selangor sebelum dipecat di penghujung musim lalu.

"Apabila Liga Super Malaysia diperkenalkan pada 2004, Zainal Abidin yang menjadi ketua jurulatih Pahang telah berjaya membawa pasukan itu menjadi juara pertama. Dua tahun kemudian Pahang menjadi johan Piala FA di bawah kelolaannya," tambah Zairil.

Lihat Komen