malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Annuar tarik diri, TMJ menang presiden FAM
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 11:58 AM
Dikemaskini: 5:48 AM
ADS

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim diisytihar menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas lawannya, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan keputusan menarik diri daripada merebut kerusi panas itu.

Dalam sidang media yang diadakan hari ini, Annuar berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen TMJ terhadap bola sepak Malaysia dan perkenan Sultan Johor.

"Setelah berfikir dengan mendalam dan menimbang semua perkara, saya buat ketetapan untuk beri penghormatan pada calon satu lagi, Tengku Mahkota Johor agar baginda diberi kemenangan tanpa bertanding dan diisytihar presiden FAM yang baru.

"Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan Tengku Mahkota Johor boleh jadi aset penting kepada FAM.

"Sokongan dan perkenan duli Sultan Johor juga adalah penghormatan pada bola sepak Malaysia. Justeru, TMJ perlu diberi peluang yang seluas-luasnya untuk melakukan sesuatu untuk bola sepak Malaysia dan mengotakan segala janji baginda," katanya pada sidang media di parlimen.

Tunaikan janji pada TMJ

Selain itu, anggota parlimen Ketereh itu memberitahu, keputusan hari ini juga merupakan 'janji yang dikotakan' terhadap Tunku Ismail.

Katanya, beliau ada menghantar kiriman SMS kepada Tunku Ismail pada 16 November tahun lalu bagi mencadangkan baginda  sendiri memegang jawatan presiden FAM.

"Waktu itu saya ada berjanji untuk mengikhtiarkan agar baginda menang tanpa bertanding.

"Hari ini saya tunaikan janji itu," katanya lagi.

Sehubungan itu, ketua penerangan Umno itu berkata, beliau berharap agar perubahan yang sekian lama dinantikan oleh peminat bola sepak tanah air akan menjadi realiti.

Beliau juga memberitahu selepas ini akan memberi tumpuan kepada kawasan parlimennya serta persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Jelasnya lagi, tindakan untuk mengundurkan diri bukan didesak oleh mana-mana pihak.

"Tak ada sebarang desakan malah tak ada sesiapa pun yang tahu. Dan sehingga saya sebut ini, tiada siapa yang tahu. Saya buat keputusan saya sendiri," katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada pengundurannya pada hari ini berkaitan dengan keputusan Majlis Amanah Raya (MARA) yang merehatkannya tahun lalu, Annuar menafikan perkara itu.

"Tak ada kena mengena (dengan MARA).

"Untuk orang buat dakwaan itu adalah bebas. Saya orang politik, ketua penerangan pula tu. Orang di luar sana bebas nak buat telahan, nak mengata saya, saya dah biasa benda-benda macam itu.

"Saya dah biasa, terpulang pada penilaian masing-masing," ujarnya lagi.

 

Lihat Komen