malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Harimau Malaysia tak mengaum di Filipina
Diterbitkan:  Mar 22, 2017 9:32 PM
Dikemaskini: 2:13 PM
ADS

Misi mahu menang skuad Harimau Malaysia tidak menjadi kenyataan dan hanya seri 0-0 berdepan Filipina, sebentar tadi.

Aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Peringatan Rizal, Manila itu, anak didik Datuk Ong Kim Swee bernasib baik apabila tidak diaibkan tuan rumah.

Awal 45 minit pertama menyaksikan penguasaan bola menjadi milik Filipina.

Situasi yang agak ketara, skuad negara hanya banyak bertahan dan berkampung di kawasan sendiri.

Jentera pertahanan diketuai Shahrom Abdul Kalam terpaksa bekerja keras menghalang asakan lawan.

Di posisi serangan pula, Amri Yahyah, Safee Sali, Hazwan Bakri dibantu Ahmad Syazwan Zainol, Baddrol Bakhtiar gagal memberi sentuhan berbiasa.

Percaturan Kim Swee belum menjadi di saat posisinya kini kemungkinan terancam.

Harimau Malaysia gagal melawan, setiap sentuhan dan gelecekan begitu mudah dinafikan pemain lawan. Kelibat Amri dan rakan-rakan di posisi serangan begitu tumpul.

Malah, rentak permainan juga nampak begitu hambar berbanding persembahan mereka pada aksi Piala Suzuki AFF sebelum ini.

Babak separuh masa kedua, tempo dan persembahan Malaysia dilihat ada perubahan sehingga memaksa Filipina mengimbangi percaturan pasukan pelawat.

Kemasukan Hadin Azman menggantikan Safee dan Ahmad Syazwan diganti dengan Matthew Davies kembali merancakkan jentera serangan.

Penguasaan menjadi milik Harimau Malaysia khususnya selepas pertukaran dilakukan Kim Swee menjelang fasa akhir perlawanan dengan mengeluarkan Amri dan Baddrol.

Bagaimanapun, kemasukan Akram Mahinan dan S Veenod juga gagal menterjemahkan setiap percubaan melalui jaringan sehingga tamat perlawanan.
 

Lihat Komen