malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Soufi raih pingat perak Piala Dunia
Diterbitkan:  Mar 22, 2017 5:06 PM
Dikemaskini: 9:08 AM
ADS

Pemain boling padang negara, Soufi Rusli meraih pingat perak Kejohanan Perseorangan Piala Dunia di New South Wales, Australia hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Warilla Bowls and Recreational Club itu, Soufi tewas kepada pemain nombor satu dunia yang juga juara dunia empat kali, Jeremy Henry dari Australia 5-6, 2-11.

Dalam set pertama, Soufi bermula baik selepas mendahului sehingga ends keempat dengan 4-2 sebelum Henry berjaya menyamakan kedudukan 4-4 pada ends berikutnya.

Saingan berlangsung sengit apabila Henry berjaya mendapat satu lagi mata, namun Soufi bangkit memberi saingan dan mengikat kedudukan 5-5 pada ends ketujuh.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Soufi apabila Henry berjaya menambah satu mata pada ends terakhir set pertama untuk kedudukan 6-5.

Bersambung set kedua, Soufi seperti hilang rentak apabila lawannya itu berjaya memintas beliau dalam setiap ends untuk menang 11-2.

Soufi dalam penampilan pertama beliau di kejohanan itu berjaya melangkah ke peringkat akhir selepas menewaskan Ali Forsyth dari New Zealand dalam saingan separuh akhir yang diadakan pagi tadi.

Semalam, pemain wanita negara, Nor Hashimah Ismail meraih pingat gangsa selepas kandas dalam saingan separuh akhir.

Sebagai rekod, atlet lelaki negara pertama memenangi kejohanan ini ialah Safuan Said pada 2008 manakala Siti Zalina Ahmad muncul juara kategori wanita pada 2015.

-Bernama

Lihat Komen