malaysiakini logo
story-image
ADS

Prestasi hambar disusuli pengunduran jurulatih Ashley Westwood memberi gambaran betapa skuad Harimau Kumbang memerlukan sentuhan motivasi.

Malah penegasan diberikan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari menyatakan mereka dalam usaha mencari pembimbing baru yang mempunyai ciri-ciri 'pencetus motivasi' pemain.

Menurutnya, ada beberapa nama calon jurulatih sedang dipertimbangkan FAP dengan mengambil kira faktor tersebut di samping berpengalaman dalam mengemudi taktikal permainan.

"Apa yang kami mahu adalah jurulatih yang mampu memotivasikan pemain.

"Jurulatih tersebut mestilah memahami selok-belok bola sepak tempatan dan mempunyai kredibiliti dalam khalayak umum," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, FAP mencapai kata sepakat bagi menamatkan khidmat Westwood selaku ketua jurulatih Pulau Pinang susulan prestasi hambar pasukan itu.

Musim ini Harimau Kumbang gagal meraih sebarang kemenangan dalam lapan saingan Liga Super diharungi mereka walaupun menerima sentuhan daripada jurulatih dari England itu.

Situasi itu sekali gus meletakkan pasukan yang turut diwakili pemenang anugerah Puskas Fifa 2016, Mohd Faiz Subri di tangga tercorot liga.

Bagaimanapun Zairil berkata, pihak pengurusan tetap memberi kepercayaan pasukannya masih boleh diselamatkan daripada tersingkir.

"Saya percaya (keadaan) pemain dan pasukan Pulau Pinang semua baik serta berkebolehan.

"Mungkin mereka perlukan sedikit suntikan daripada jurulatih yang dapat memberi motivasi," ujarnya anggota Parlimen Bukit Bendera itu.

Sementara itu, beberapa nama calon jurulatih tempatan disebut-sebut menjadi buruan FAP.

Antaranya bekas jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah; bekas jurulatih Selangor; Zainal Abidin Hassan dan bekas pengendali skuad kebangsaan, K Rajagobal.
 

Lihat Komen