malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
TMJ: Apa sebenar penyokong JDT mahu?
Diterbitkan:  Mar 20, 2017 5:04 PM
Dikemaskini: 9:28 AM
ADS

Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melahirkan rasa kesalnya terhadap segelintir penyokong yang disifatkan tidak tahu bersyukur dan masih merasa tidak cukup dengan pencapaian pasukan itu.

Menulis di Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail mengingatkan pengendali lama-laman tidak rasmi JDT seperti JDT Troll Story, supaya tidak memecahbelahkan penyokong pasukan itu.

"Saya bukannya tiada maklumat yang antara anda semua ini sebenarnya ada yang berasal dari negeri lain," kata Tunku Ismail.

Menurutnya, berbeza dengan dahulu, penyokong JDT kini memiliki kelab yang kuat, malah nama negeri Johor dikenali di seluruh dunia sehingga mendapat jemputan ke 'World Football Summit'.

JDT tambahnya turut mendapat pujian media luar, mempunyai kawangan yang kukuh dan kemudahan bertaraf dunia, selain modul Bangsa Johor mula dikenali ramai.

Namun katanya, perkara sebaliknya berlaku apabila beberapa kali pertukaran jurulatih dan pemain mendapat tentangan daripada penyokong sendiri, meskipun akhirnya terbukti ia membuahkan hasil.

"Apabila penyokong lain tegur dan sindir, penyokong kita pula marah. Tetapi tanpa sedar, diri sendiri yang memberi mereka peluang," katanya.

Tunku Ismail juga turut menyuarakan rasa kesal apabila terdapat penyokong yang mengejek pasukan sendiri meskipun dalam sesuatu perlawanan JDT mendahului 4-0.

"Sibuk menyuruh pemain serang lagi dan sumbat 7 gol. Bila pemain cedera, marah jurulatih kenapa tak beri mereka peluang bermain.

"Apa sebenarnya yang penyokong JDT ni mahu?," soalnya.

Menurut Tunku Ismail, orang luar atau penyokong lain sering berharap untuk memiliki kelab seperti JDT, namun segelintir penyokong pula sibuk melayan media sosial dengan isu-isu remeh.

"Apabila orang lain hentam perangai dan sikap tersebut, mulalah melenting dan melatah. Tak sedar bahawa punca utama tersebut datang dari diri sendiri," keluhnya.

'Jangan cari salah orang'

Justeru Tunku Ismail berpesan kepada penyokong agar menghakis mentaliti yang boleh melemahkan pasukan mereka.

"B.O.S cari silap penyokong, penyokong cari silap B.O.S, penyokong cari silap pengurusan, cari silap stadium dan macam-macam lagi. Sampai bila hendak terus mencari silap orang.

"Tidak kira kalah atau menang, sentiasa sokong dan berdoa agar pasukan lakukan yang terbaik. Bukan takut kalah kerana takut kena kutuk dalam media sosial," katanya.

Tambah Tunku Ismail, daripada hendak mencari kesalahan orang lain, adalah lebih baik jika membetulkan diri sendiri terlebih dahulu.

"Langkah pertama, bersyukur. Kedua, bersatu. Ketiga, beri sumbangan atau kukuhkan empayar kita. Usah dilayan perkara-perkara kecil. Saya berdiri teguh kerana saya sayang Keluarga JDT," katanya.

Lihat Komen