malaysiakini logo
story-image
ADS

Dua pemain lelaki negara - Mohd Nafiizwan Adnan dan Ivan Yuen - mengalami nasib berbeza di perlawanan kelayakan pertama
kejohanan skuasy Terbuka British pada lewat Ahad (Isnin pagi waktu Malaysia).

Mohd Nafiizwan yang juga pemain utama negara, mara ke perlawanan kelayakan terakhir selepas menewaskan Bradley Masters dari England 8-11, 11-7, 11-3, 11-4 pada kejohanan yang diadakan di Universiti Hull.

Menurut laman web kejohanan www.britishopensquash.com, beliau akan berdepan seorang lagi pemain England, Adrian Waller yang menewaskan rakan senegaranya, Patrick Rooney 11-6, 8-11, 11-3, 11-2 dalam satu lagi aksi pusingan kelayakan.

Ivan, bagaimanapun, tersingkir daripada kejohanan selepas tewas kepada pemain Perancis, Gregoire Marche 11-9, 7-11, 11-7, 4-11, 2-11.

Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang juga juara lima kali kejohanan, akan membuka kempennya menentang Olivia Blatchford dari Amerika Syarikat di pusingan pertama pada lewat Selasa (pagi Rabu waktu Malaysia).

Sebagai rekod, Nicol pernah menjuarai kejohanan ini pada 2005, 2006,
2008, 2012 dan 2014. -Bernama

Lihat Komen