malaysiakini logo
story-image
ADS

Pendekatan holistik dalam program pembangunan bola sepak mampu membentuk jati diri serta karakter kanak-kanak dan belia menjadi insan yang seimbang secara keseluruhannya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam ucapannya pada pelancaran Liga 1Malaysia Connecting Communities (1MCC) 2017 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini, beliau berkata ia adalah antara aspek penting dalam pembangunan negara.

Misi 1MCC menggunakan sukan bola sepak sebagai pemangkin membangunkan belia adalah sejajar ke arah mencapai objektif menjadi negara maju dan mempunyai masyarakat yang bersahsiah tinggi, katanya.

"Belia diberi peluang untuk mencapai potensi keperibadian tertinggi mereka dan seterusnya melahirkan individu yang seimbang," kata Najib dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Dianjurkan oleh 1MCC Sports Sdn Bhd (1MCC), edisi tahun ini bakal
menyaksikan 92 pasukan dari Lembah Klang berentap dalam tiga kategori iaitu bawah 12 tahun, bawah 14 tahun dan bawah 16 tahun.

Najib turut menyeru semua pemain Liga 1MCC sedar tentang kepentingan mencapai potensi keperibadian tertinggi dan menggunakan platform itu untuk membangunkan jati diri dan terus memperbaiki diri.

Beliau turut memuji pendekatan menyeluruh yang diterapkan 1MCC dalam mendidik pemain-pemain bagi menghasilkan individu yang berkeyakinan tinggi.

"Kita perlukan pemain yang bukan sahaja mahir, kuat serta sihat dari segi
fizikal, malah pemain yang cekal dari segi mental dan rohani untuk menghadapi cabaran kehidupan - tidak kira sama ada bermain di atas padang bola sepak, atau ketika menjalani kehidupan seharian," katanya.

Najib berkata adalah menjadi hasrat dan harapannya agar mutu bola sepak negara dilonjakkan ke tahap yang lebih tinggi, kerana pada suatu ketika dahulu Malaysia disegani dalam sukan bola sepak.

"Jika kita ingin berjaya dalam bola sepak malah dalam apa jua bidang pun, kita mesti mempunyai komitmen yang tidak berbelah bahagi sambil mempelajari segala kemahiran dan ilmu mengenai bola sepak atau sesuatu bidang tersebut," katanya.

Perdana Menteri juga tertarik dengan inisiatif 1MCC yang mementingkan
penglibatan sosial secara inklusif serta sangat bangga dan teruja apabila
dimaklumkan bahawa kanak-kanak Pendidikan Khas turut serta dalam program itu.

Beliau berkata kanak-kanak terbabit diberi peluang untuk melibatkan diri
dalam sukan bola sepak sambil belajar kemahiran baharu.

Katanya, 1MCC turut menjalankan program komuniti bersama masyarakat Orang Asli dan komuniti Felda di kawasan pedalaman dan terpencil.

"Saya juga dimaklumkan bahawa 1MCC akan berusaha menjalankan
program yang melibatkan masyarakat pelarian dan golongan gelandangan," katanya.

Najib berkata pendekatan inklusif meliputi semua lapisan komuniti adalah
usaha yang murni dan harus dibanggakan. -Bernama

Lihat Komen