malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Pecat Westwood, FAP capai kata sepakat
Diterbitkan:  Mar 19, 2017 10:41 AM
Dikemaskini: 3:15 AM
ADS

Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) mencapai kata sepakat bagi menamatkan khidmat Ashley Westwood selaku ketua jurulatih Pulau Pinang susulan prestasi hambar pasukan itu dalam saingan Liga Super.

Presiden FAP, Zairil Khir Johari berkata, Westwood bersetuju untuk menamatkan perkhidmatan dan melepaskan jawatannya berkuatkuasa serta merta.

"Saya bagi pihak FAP merakamkan penghargaan atas khidmat dan usaha beliau selama berada dengan pasukan Pulau Pinang.

"Bagi mengisi kekosongan ini buat sementara, pihak FAP bersetuju untuk melantik Darren Read, pembantu ketua jurulatih, bagi memangku jawatan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, FAP akan mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baru dalam masa terdekat.

Bulan lalu, Zairil memberikan kata putus kepada Westwood selepas mengharungi lapan perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Pasukan itu setakat ini hanya berjaya mengumpul dua mata hasil keputusan seri dengan Malacca United dan PKNS. 

Hasil bimbingan Westwood, Pulau Pinang kini berada di tangga tercorot Liga Super serta berdepan penyingkiran ke Liga Perdana.

Para penyokong skuad Harimau Kumbang turut mendesak FAP memecat Westwood kerana prestasi hambar dipamerkan pasukan berkenaan.

 

Lihat Komen