malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
TRW 'galo' Bos Gaurus, PP raih mata sulung
Diterbitkan:  Mar 1, 2017 10:55 PM
Dikemaskini: 3:36 PM
ADS

Walaupun terpaksa berselut seperti membajak (galo) di Stadium Perak, Ipoh, Kelantan bangkit menewaskan skuad Bos Gaurus dengan keputusan 4-2, sebentar tadi.

Beraksi di atas padang basah, skuad The Red Warriors (TRW) bangkit selepas kekalahan hatrik pada tiga perlawanan lalu.

Anak buah Zahasmi Ismail membuktikan kecaman penyokong mereka bertukar menjadi azimat dan semangat.

Zahasmi dilihat menitiskan air mata gembira menyambut kemenangan TRW sebaik wisel penamat ditiupkan pengadil.

Persaingan sengit dipamerkan kedua-dua pasukan, malah sedikit sebanyak diselit dengan insiden ketegangan.

Tampil saling melawan, aspek serangan Kelantan dan Perak dilihat seimbang  selain mempamerkan kelincahan yang agresif.

Anak buah Mehmet Durakovic bagaimanapun terpaksa lebih bekerja keras khususnya di posisi pertahanan dengan asakan pasukan pelawat.

Berdepan dengan tekanan tinggi, Bos Gaurus terpaksa akur dengan kegairahan Kelantan untuk mencipta kemenangan.  

Muhammad Ghaddar muncul pahlawan skuad Kijang dengan jaringan hatrik disumbangkannya malam ini.

Selepas tampil dengan gol penyamaan di minit ke-38, Ghaddar berjaya meletakkan Kelantan di depan ketika perlawanan memasuki fasa penghujung.

Melalui bantuan kapten Badri Radzi yang bijak mencipta hantaran cantik, Ghaddar bijak menyempurnakan tugasnya pada minit ke-83 sebelum disusuli gol ketiga lima minit berselang.

Perak bagaimanapun sempat mengurangkan defesit jaringan melalui gol kedua oleh Vladislav Mirchew.

Namun, Indra Putra Mahyuddin sempat menambahkan derita skuad tuan rumah menjelang minit akhir masa tambahan untuk keputusan 4-2.

Keputusan itu membolehkan Kelantan naik ke tangga keenam liga dengan kutipan sembilan mata selepas enam perlawanan, manakala Perak menghuni tangga kelima dengan 11 mata.

Sementara itu, di Stadium Batu Kawan, Seberang Prai Selatan menyaksikan Pulau Pinang meraih mata pertama selepas tujuh perlawanan.

Berdepan Melaka United, anak buah Ashley Westwood sekurang-kurangnya bangkit untuk mengikat pasukan pelawat selepas ketinggalan 0-1 di separuh masa pertama.

Jaringan Reidaldo Lobo di penghujung masa perlawanan membolehkan Harimau Kumbang mencatat keputusan seri 1-1.

Lain-lain keputusan:

Selangor 1-1 Kedah

T-Team 0-0 Felda United

Pahang 3-0 PKNS FC

Sarawak 0-2 JDT


 

Lihat Komen