malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Harimau Kumbang terus kempunan
Diterbitkan:  Feb 25, 2017 11:00 PM
Dikemaskini: 3:30 PM
ADS

Tidak seperti beberapa perlawanan lalu, kali ini Faiz Subri diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Pulau Pinang berdepan pendahulu Liga Super, Kedah, sebentar tadi.

Hasilnya, sentuhan pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016 itu menjaringkan gol pendahuluan dan sempat membuat Kedah cemas.

Namun, sumbangan Faiz itu gagal menyekat kemaraan Kedah pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar yang berkesudahan 3-1 berpihak kepada tuan rumah.

Aksi keenam Liga Super 2017 itu menyaksikan pasukan tuan rumah dikejutkan dengan jaringan Faiz sekurang-kurang memberi harapan untuk penyokong Pulau Pinang.

Berpunca daripada gerak balas pantas, Faiz mengejutkan ribuan penyokong tuan rumah menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Ikmal Chek Kassim pada minit ke-18.

Namun, kegembiraan anak buah Ashley Westwood dipadam bagaikan sekelip mata selepas Helang Merah berjaya menyamakan kedudukan hanya dua minit berselang.

Melalui sentuhan bekas pemain pasukan pelawat sendiri, Fitri Omar tampil melegakan ribuan penyokong pasukan tuan rumah.

Gol penyamaan itu ternyata menjadi tonik penting buat pasukan Kedah apabila tampil menguasai perlawanan di separuh masa kedua.

Keputusan Tan Cheng Hoe membawa masuk Syafiq Ahmad bagi mengantikan Fakri Saarani membuahkan gol kedua mereka pada minit ke-74.

Kegairahan Helang Merah untuk mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu liga diperkuatkan lagi dengan gol ketiga pemain import sandaran mereka, Liridon Krasniqi.

Sejurus gol di minit ke-86 itu, Krasniqi dilaporkan sempat naik ke tempat duduk penyokong untuk meraikan jaringan bersama ibu bapanya yang turut berada di stadium.

Tamparan lebih besar terpaksa dihadapi pasukan dan pengurusan Pulau Pinang dengan kekalahan kali keenam berturut-turut, manakala Kedah kekal di tangga pertama liga dengan mengumpul 14 mata.

Sementara itu di Kota Bharu, kunjungan Selangor berjaya mengutip tiga mata penuh menewaskan Kelantan dengan keputusan 2-0.

Seawal minit keempat, The Red Giants membuktikan Stadium Sultan Muhammad IV sekali lagi tidak berpihak kepada tuan rumah dengan kekalahan kedua berturut-turut The Red Warriors di gelanggang keramat mereka.

Juliano Mineiro muncul wira Selangor melalui dua gol menewaskan penjaga gol TRW, Khairul Fahmi Che Mat pada minit keempat dan minit ke-64.

Kemenangan ketiga milik anak buah P Maniam itu sekali gus meletakkan mereka di kedudukan ketiga liga selepas enam cabaran dihadapi mereka.

Lain-lain keputusan:

JDT 3-0 T-Team
Felda United 2-2 Perak
Melaka United 0-3 Pahang
PKNS FC 2 - 3 Sarawak

 

Lihat Komen