malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Penyokong P Pinang desak FAP pecat Westwood
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 6:31 PM
Dikemaskini: 10:37 AM
ADS

Para penyokong skuad Harimau Kumbang mendesak agar Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) memecat Ketua Jurulatih, Ashley Westwood kerana gagal memberi sebarang kemenangan kepada pasukan mereka dalam lima perlawanan awal Liga Super musim ini.

Wakil gabungan persatuan penyokong setia skuad Harimau Kumbang, Mohd Khir Md Noor berkata, pengurusan FAP perlu melihat perkara tersebut dengan segera jika tidak mahu terus menjadi lubuk kepada pasukan lain untuk meraih mata apabila bertemu Pulau Pinang.

"Hari ini saya mewakili peminat-peminat setia pasukan bola sepak Pulau Pinang menghantar memorandum kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng supaya campur tangan dalam isu ini kerana pasukan kini berada di tangga tercorot liga.

"Menerusi memorandum ini kami mengesa antaranya untuk memecat Ashley serta merta kerana selepas ini jika terus gagal meraih tiga kemenangan, Pulau Pinang akan tersingkir ke Liga Perdana musim hadapan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum di bangunan Komtar di George Town hari ini.

Beliau hadir bersama lebih 30 penyokong lain dan kumpulan berkenaan turut membawa sepanduk bertuliskan 'Selamatkan Maruah Bola Sepak Pulau Pinang dan Kami Mahu Ashley Westwood Dipecat'.

Memorandum itu diterima Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainol.

Mohd Khir berkata antara lain memorandum itu turut mendesak Presiden FAP Zairil Khir Johari agar berundur daripada pengurusan pasukan kerana dilihat gagal dalam memainkan peranannya.

"Selain itu kami juga mahu FAP mengadakan dialog antara penyokong dan presiden FAP bagi membincangkan hala tuju pasukan bola sepak Pulau Pinang dan yang keempat ialah pemain import yang ada sekarang ini tiada kualiti, ini membazirkan wang yang kerajaan negeri berikan kepada FAP," katanya.

Katanya jika pasukan Pulau Pinang terus kalah dalam perlawanan seterusnya, penyokong-penyokong akan mengambil tindakan memboikot perlawanan pasukan itu dan ini akan merugikan FAP kerana kutipan tiket akan berkurangan.

-Bernama

Lihat Komen