malaysiakini logo
story-image
ADS

Calon timbalan presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, menegaskan beliau hanya mahu bergandingan dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ) untuk memimpin badan induk bola sepak negara dan bukan dengan Tan Sri Annuar Musa.

Justeru, kata Mohd Yusoff, perwakilan yang akan mengundi pada 25 Mac ini perlu membuat pilihan - Annuar atau dirinya.

"Sekiranya TMJ dipilih sebagai presiden dan perwakilan memilih saya (sebagai timbalan), saya amat berbesar hati.

"Sebaliknya kalau perwakilan memikirkan Tan Sri Annuar lebih layak menerajui FAM, saya minta perwakilan ‎tidak mengundi saya," katanya ketika ditemui di Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor, hari ini

Perebutan jawatan presiden FAM semakin panas dengan tarikh pengundian pada kongres ke-53 badan itu semakin hampir.

Saingan sengit antara Annuar dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukanlah asing lagi, terutama apabila kedua-dua tokoh pernah saling berbalas hujah - sama ada secara langsung atau melalui sindiran - dalam beberapa isu.

Secara umum populariti Tunku Ismail ketika ini dilihat tinggi terutama melalui kemampuan beliau mengemudi bahtera kelab JDT.

Bagaimanapun keupayaan Annuar sebagai ahli politik berpengalaman lama tidak harus dipandang sebelah mata.

Pemilihan FAM bolehlah dianggap "kecil" bagi ketua penerangan Umno itu berbanding saingan lebih sengit pernah dialaminya dalam pilihan raya umum beberapa kali sebelum ini.

Mungkin ada konflik

Kenyataan Mohd Yusoff hari ini dianggap menarik kerana setakat ini tumpuan hanya diberikan kepada jawatan tertinggi FAM saja dan kedudukan pesaing bagi kerusi lain kurang diberi perhatian.

Ia sebenarnya tetap penting kerana keupayaan sesebuah pertubuhan banyak bergantung kepada persefahaman dan kerjasama secara berpasukan.

Selain Mohd Yusoff, jawatan timbalan presiden juga menjadi rebutan penyandang, Datuk Seri Afandi Hamzah, dan bekas naib presiden Datuk Subahan Kamal.‎

Mohd Yusoff yang juga exco FAM berharap, perkara itu jelas dan difahami oleh 39 perwakilan yang akan menentukan barisan kepimpinan persatuan itu anti.

"Maksudnya, saya nak orang yang saya boleh bekerja. Maknanya saya dah bekerja sebelum ini atau dah faham serba sedikit hala tuju dan pembaharuan yang akan dibawa oleh TMJ.

"Saya tak pernah duduk (bekerja) dengan Annuar, jadi saya tak faham apa yang mungkin beliau ingin bawa (pembaharuan) dalam FAM," katanya yang juga timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Melaka.

Justeru Mohd Yusoff berkata, perwakilan diharap dapat menentukan gandingan kepimpinan yang sesuai.

Ditanya jika keadaan sedemikian tidak berlaku katanya, beliau bimbang sekiranya wujud gandingan tidak sesuai.

"Saya serah kepada perwakilan, saya khuatir juga jika ‎keadaan itu berlaku. Mungkin Tan Sri Annuar tak selesa bekerja dengan saya atau saya tak faham hala tuju beliau.

"Itu mungkin akan menimbulkan sedikit konflik atau tak dapat bekerja dalam satu pasukan dengan baik.

"Kita nak FAM diterajui dalam dalam satu pasukan, bukan presiden yang boleh buat semua. Presiden perlukan timbalan presiden untuk membantu," katanya.

Lihat Komen