malaysiakini logo
story-image
ADS

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah tidak menolak kemungkinan ada lagi calon akan menarik diri menjelang kongres ke-53 badan induk bola sepak Malaysia itu pada 25 Mac ini.

Menurutnya, semua calon masih boleh memikirkan sama ada mahu kekal bertanding atau tidak sehingga hari kongres tersebut berlangsung.

"Ada kemungkinan masih terdapat calon akan menarik diri saat akhir kerana mereka masih ada masa sebelum hari sebenar kongres itu berlangsung nanti.

"Kita nak kata semua calon ini kekal pun tidak boleh juga sebab masa masih ada kira-kira sebulan sebelum pemilihan," katanya ketika ditemui di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

Terdahulu Afandi mempengerusikan mesyuarat Exco Eksekutif FAM dan mengesahkan senarai calon yang sah bertanding pada kongres itu.

Tidak banyak perubahan terhadap senarai calon yang diumumkan FAM hari ini dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa kekal bertanding merebut jawatan presiden.

Selain itu, hanya Datuk Rozabil Abd Rahman sahaja menyatakan hasrat untuk tidak bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Ia sekali gus menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Afandi, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk Seri Subahan Kamal.

Bagi jawatan naib presiden pula, sembilan calon akan bertanding iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Datuk Sivasundaram, Mohd Joehari Mohd Ayob, Datuk Ab Ghani Hassan, Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan Datuk Astaman Abdul Aziz.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan kongres berkenaan akan bermula jam 10 pagi di Hotel PJ Hilton, Petaling Jaya.

Lihat Komen