malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Jauh tersasar, Dragons ratapi kekalahan lagi
ADS

Kemenangan yang seharusnya berada dalam genggaman Malaysia apabila jaringan free throw pada saat terakhir suku keempat memasuki jaring, namun kegagalan itu memaksa perlawanan dilanjutkan ke suku tambahan.

Namun, nasib tetap tidak menyebelahi Westports Malaysia Dragons yang kalah kepada Singapore Slingers dengan hanya tiga mata, 110-113.

Perlawanan malam tadi diadakan di Gem In Mall, Cyberjaya.

Ia merupakan perlawanan ke-10 untuk Dragons, dan selepas kalah dalam lapan perlawanan, juara bertahan itu kini berada di tangga tercorot dalam liga.

Slingers pula masih berebut untuk tangga teratas dengan Hong Kong Eastern Long Lions.

Ketika ditemui wartawan malam tadi, ketua jurulatih Dragons, Christopher Thomas, yang kelihatan kecewa menyatakan kepercayaannya dalam barisan pemain baru yang beraksi lebih baik berbanding perlawanan yang lalu.

"Saya rasa kami telah membuktikan kebolehan sebenar kami sebagai sebuah pasukan pertahanan, walaupun kemenangan itu tidak dapat dicapai.

"Masalah suku ketiga masih membelenggu corak permainan dari awal liga lagi tetapi Dragons dapat memberikan saingan sengit kepada Slingers.

"Dragons sepatutnya menang, tetapi malang tak siapa menjangka. Berlaku kesilapan di beberapa tempat tetapi kami akan tetap bersaing dalam sepuluh lagi perlawanan berbaki," ujar Thomas.

Peluang tipis

Peluang untuk Dragons layak ke perlawanan playoffs semakin tipis dengan 2-8 dan mereka perlu bertungkus lumus untuk menyaingi Saigon Heat dan Kaohsiung Truth untuk tempat keempat pada akhir musim ini.

Joshua Munzon yang juga baru menyertai Dragons selepas 'dilepaskan' oleh Saigon Heat turut menyerlah dalam perlawanan ini bersama Skylar Spencer.

Sejak beberapa perlawanan lalu yang agak mengecewakan, pertemuan dengan Slingers kali ini mungkin memberi nafas baru untuk Dragons mengembalikan peluang mereka dalam playoffs musim ini.

Salah seorang pemain import baru yang menggantikan Marcus Melvin dan Freddie Goldstein, Samuel Keyondrei 'Kiwi' Gardner yang hanya berusia 23 tahun dari AS, memulakan serangan awal untuk Dragons.

Tidak sampai lima minit dalam suku pertama perlawanan, Kiwi melonjakkan penguasaan Dragons dengan jaringan 9 mata, mendahului Slingers dengan 5 mata, 14-9, lantas memberi cabaran untuk Slingers selaku pasukan teratas dalam liga setakat ini.

Antara pasukan teratas dalam liga, Slinger tidak mudah berputus asa dan kembali menyerang Dragons, dan menyamakan mata dalam minit terakhir suku pertama.

Namun, Kiwi yang bagaikan 'cili padi' untuk Dragons mudah meletakkan Malaysia di hadapan dalam dua minit terakhir dengan mata 22-18.

Dragons memulakan suku kedua dengan serangan demi serangan, sungguhpun Slingers kembali menyamakan jaringan mereka, pasukan Malaysia tetap memberi saingan yang hebat. Pada minit 7:21, kedua-dua pasukan masih terikat 28 mata.

Slingers yang kelihatan agak tidak konsisten dalam ritma perlawanan kali ini melakukan lebih banyak kesilapan dan jaringan free throw yang sering tersasar.

Gandingan pemain import baru Munzon dan Kiwi memberikan nafas baru kepada Dragons, terutamanya pemain tempatan seperti Kuek Tian Yuan dan Ma Chee Khuen untuk mendapatkan mata buat Dragons.

Aksi dramatik jaringan alley-oop daripada Skylar Spencer hasil hantaran Gardner menggamatkan suasana dalam gelanggang. Para penyokong Dragons turut berdiri memberikan tepukan.

Separuh akhir pertama diakhiri dengan sembilan mata memisahkan Dragons dan Slingers apabila kedudukan 52-43.

Jatuh ditimpa tangga

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, Dragons masih dibelenggu masalah turnover dan kesilapan yang merugikan peluang mereka menguasai perlawanan dari tangan Slingers.

Walaupun Dragons menjaringkan 16 mata dalam suku ketiga, 32 mata daripada Slingers menamatkan suku ketiga dalam tangan lawan. Slingers kembali menguasai suku ketiga dengan 68-75.

Kiwi yang baru menyertai pasukan Dragons terpaksa 'direhatkan' beberapa kali akibat kekejangan kakinya dalam suku keempat. Ketiadaannya dalam gelanggang menyukarkan Dragons menembusi pertahanan Slingers.

Setelah beberapa percubaan, Dragons kembali menguasai gelanggang pada minit terakhir, hasil jaringan Wong Yi Hou dan Joshua Munzon dengan 99-96.

Saat akhir apabila Kiwi gagal menamatkan jaringan free throw, Xavier Alexander dari Slingers cepat merebut peluang untuk menyamakan mata dengan 99-99.

Suku tambahan pula semakin sukar untuk Dragons dengan tiga pemain direhatkan akibat masalah foul. Teo Kok Hou, Joshua Munzon dan Loh Shee Fai memungut foul kelima pada suku ini menjadikan keadaan semakin rumit.

Walaupun Dragons mampu menyamakan kedudukan beberapa kali dalam suku terakhir, peluang untuk memenangi perlawanan agak tipis.

Dragons bakal bertemu dengan Hong Kong Eastern Long Lions pada Ahad ini di Stadium Southorn, Wan Chai pada jam 8 malam.

Lihat Komen