malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyasarkan skuad The Red Warriors (TRW) berada dalam kelompok kedudukan kesepuluh teratas, dalam saingan Liga Super musim ini.

Penasihatnya Tan Sri Annuar Musa berkata, pada saingan musim ini, Kelantan hanya tampil sebagai pasukan 'underdog' yang akan memulakan aksi dalam Liga Super menentang Melaka United di Stadium Sultan Muhammad Ke IV di Kota Bharu, malam esok.

"Piala Malaysia dan juga Piala FA, kami tidak meletakkan sasaran (untuk menjuarainya) khusus untuk tahun ini, asalkan mereka (pemain) kompetitif dan menunjukkan kualiti permainan yang bagus pada setiap perlawanan.

"Kami tiada tekanan untuk mendapatkan piala, hanya mahukan Kelantan terus kekal dan dapat beraksi dalam saingan Liga Super musim depan yang musim 2018 kami berhasrat membina pasukan terkuat dalam sejarah bola sepak negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jersi 2017 dan Pengenalan Konsortium Penaja Al Hamra, hari ini.

Pada majlis itu, Kafa turut memperkenalkan barisan pemain skuad TRW, jersi rasmi pasukan dan penaja utama Kelantan musim ini.

Mengenai penyertaan beberapa bekas pemain Kelantan yang pernah membantu TRW memenangi tiga kejuaraan pada 2012 pada musim ini, Annuar berkata kehadiran mereka tidak boleh dibandingkan seperti kecemerlangan yang dikecapai mereka pada masa lalu.

"Bola sepak adalah realiti, banyak pasukan yang bersaing sudah melakukan perubahan, kami perlu melihat ke hadapan untuk kemajuan.

"Kehadiran mereka untuk membantu memperkuatkan pasukan bagi mengulangi pencapaian enam tahun lalu dan pasukan perlu bekerja keras lagi," katanya.

Antara pemain berkenaan ialah pemain import dari Lubnan, Mohammed Mahmoud Ghaddar, S Subramaniam, Mohammad Ab Aziz Ismail dan Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Mohd Daudsu Jamaluddin.

Sementara itu, dua pemain import baharu yang sah beraksi bersama Kelantan musim ini ialah Mamadou Danso, 33, dari Gambia dan Alessandro Padovani Celin, 27, dari Brazil.

-Bernama

Lihat Komen