malaysiakini logo
story-image
ADS

Adakah Harimau Selatan terus mengaum garang di gelanggang sendiri? atau Helang Merah akan terbang tinggi di Larkin? Aksi pertama liga Malaysia 2017 antara JDT dan Kedah pastinya akan menarik perhatian seluruh peminat bola sepak tanah air.

Kedah di bawah bimbingan jurulatih Tan Cheng Hoe dilihat cukup bersedia selepas melakukan kerja rumah dengan begitu sempurna sepanjang tempoh pramusim.

Walaupun tidak menyertai perlawanan persahabatan di luar negara, Baddrol Bakhtiar dan rakan-rakannya dilihat fokus dengan perjalanan kejurulatihan dan mempamerkan keputusan positif sepanjang aksi pramusim.

Cheng Hoe memilih untuk berkeyakinan betapa mereka tidak perlu melakukan rombakan besar jentera Helang Merah menghadapi perjalanan yang semakin mencabar.

Di sebalik sikap merendah dirinya, bekas penolong skuad kebangsaan itu sudah tentu merangka strategi untuk sepanjang musim selepas pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah mengharapkan kejuaraan tiga piala musim ini.

Dengan gelaran juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah mempertaruhkan 90 peratus pemain sedia ada di samping melakukan beberapa pertukaran pemain import termasuk kemasukan semula Sandro Da Silva menggantikan peranan Shane Smeltz.

Tewas 0-5 berdepan JDT pada pertemuan terakhir mereka dalam saingan Liga Super lalu pastinya menjadi pengajaran besar untuk skuad Hijau Kuning supaya lebih berhati-hati di stadium lawan.

Langkah pertama yang mempertaruhkan Piala Sumbangsih 2017 malam ini, bakal menjadi penanda aras prestasi awal kedua-dua pasukan yang pastinya akan diteliti pasukan-pasukan lain.

Kedah disebut-sebut sebagai pencabar utama musim ini selain JDT selaku pasukan paling digeruni lawan dengan kejayaan cemerlang yang dikecapi mereka dalam tempoh yang singkat.

Namun, di kem Harimau Selatan ada cerita kurang sedap di dengar khususnya berkait isu perpindahan bekas pemain import mereka Jorge Pareyra Diaz.

Pemain import itu tampil mengkritik pengurusan JDT dan kemudiannya Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan memberi penjelasan mengenai tabiat buruk penyerang berbisa itu.

Selain itu, penyokong mereka turut dikejutkan dengan pertukaran jurulatih Mario Gomez yang memilih untuk tidak lagi bersama JDT dan digantikan dengan Benjamin Mora.

Adakah Mora akan menyerapkan taktikal tersendiri dalam tempoh yang singkat?

Bagaimanapun, setakat ini JDT sudah menang melalui perang saraf yang dilancarkan di Facebook rasmi mereka. Beberapa keping gambar dimuat naik menggambarkan Helang Merah dijinakkan.

Dari aspek persembahan di atas padang, musim lalu permainan diterapkan jurulatih Kedah tidak banyak berbeza jika dibandingkan persembahan JDT.

Kedua-dua pasukan mempraktikkan taktikal hantaran pendek dengan permainan pantas yang menguji ketangkasan dan ketajaman barisan pemain.

Tetapi, Kedah agak kurang konsisten di posisi pertahanan dan tumpul di bahagian serangan jika dibandingkan dengan kelebihan dimiliki JDT yang seimbang di setiap aspek.

Sama ada Piala Sumbangsih kekal di Larkin atau dibawa terbang ke Kedah akan ditentu melalui kesefahaman dan ketajaman pemain berpihak kepada anak buah Mora atau Cheng Hoe.

Jika prestasi JDT musim lalu dijadikan ukuran, Kedah sudah tewas di atas kertas. Sebaliknya untuk musim ini, JDT juga masih memperlihatkan keupayaan mereka sukar digugat.

Namun, seperti dilaungkan Cheng Hoe - tiada yang mustahil untuk barisan pemainnya membuktikan kemenangan boleh dicapai mereka sekali gus membawa pulang trofi pertama musim ini.

Justeru, JDT dan Kedah awak rasa siapa gagah?

Lihat Komen