malaysiakini logo
story-image
ADS

Penyokong bola sepak Kelantan menyambut baik pelantikan Zahasmi Ismail sebagai jurulatih The Red Warriors (TRW) walaupun menyedari skuad itu bakal berdepan cabaran sukar pada musim depan.

Latar belakang bekas jurulatih kelab MOF yang dekat dengan selok-belok bola sepak Kelantan itu diharap mampu mengembalikan martabat pasukan berkenaan seperti di zaman kegemilangannya.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan, Mahizi Mahmood, berkata sebagai anak tempatan yang memahami nadi bola sepak di negeri itu mereka berharap Zahazmi mampu membawa perubahan.

"Saya percaya, seluruh penyokong Kelantan menyokong penuh pelantikan ini dan spekulasi kami mengenai siapa yang bakal melatih Kelantan akhirnya terjawab.

"Insya-Allah, kita percaya dengan pengalaman dan kredibiliti beliau, Kelantan diharap mampu menjadi antara pencabar liga‎ musim depan," katanya kepada Malaysiakini.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) semalam pengumumkan Zahasmi sebagai jurulatih baru TRW menggantikan Velizar Emilov Popov yang tidak menyambung kontraknya.

Tak ada masalah besar

Popov yang pernah menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Maldives mula mengemudi Kelantan sejak pertengahan Mei lalu.

Kelantan menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tempat keempat dan belum cukup menggembiarkan penyokong TRW.

Persembahan skuad itu juga diwarnai dengan pelbagai isu seperti tajaan dan syarat yang ditetapkan penaja.

Tan Sri Annuar Musa pula baru-baru ini meletak jawatan sebagai presiden Kafa.

Mahizi berkata sebagai pemain yang pernah mewakili Kelantan dan pernah mengemudi skuad itu untuk sementara pada 2014, mereka yakin Zahasmi boleh melakukan sesuatu untuk TRW.

Sementara itu, Zahasmi percaya anak buahnya mampu memberi saingan lebih bermakna pada liga Malaysia musim depan walaupun pembentukan skuad itu masih agak terumbang-ambing.

Katanya, senarai pemain sedia ada dilihat mampu memberi cabaran hebat.

"Saya yakin mereka boleh memberikan tentangan kepada pasukan lain walaupun terdapat segelintir pemain lama berhijrah menyertai pasukan lain.

"Pemain sedia ada sebelum ini pernah berkerjasama dengan saya. Jadi ia tidak menjadi masalah besar kepada saya untuk membentuk pasukan," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Lihat Komen