Sebagai tanda bantahan terhadap kekejaman yang berlarutan ke atas etnit Rohingya di Myanmar, PKR menggesa kerajaan memanggil pulang skuad Harimau Malaysia yang kini menyertai kejohanan Piala Suzuki AFF di negara itu.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata kementerian belia dan sukan harus mengarahkan pasukan bola sepak negara menarik diri kerana ia pernah dilakukan sebelum ini.
"Sejarah membuktikan pada 1980, Malaysia menarik diri daripada kejohanan Olimpik - yang lebih berprestij - kerana membantah pencerobohan tentera Soviet Union ke atas Afghanistan," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Etnik Rohingya kini berdepan dengan keganasan daripada tentera Myanmar yang menyeksa serta membunuh masyarakat itu.
Media melaporkan tentera Myanmar menggunakan helikopter menyerang perkampungan masyarakat Rohingya di Rakhine pada 12 November mengakibatkan lapan orang maut.
Ia adalah satu daripada keganasan dijalankan ke atas etnik Rohingya yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Myanmar sebagai rakyat mereka.
Kezaliman itu berlaku ketika salah seorang pemimpin politik Myanmar, Aung San Suu Kyi, adalah penerima Anugerah Keamanan Nobel.
Kata Nurul Izzah langkah membatalkan penyertaan pasukan bola sepak boleh dilihat sebagai pendekatan moral untuk membantah kekejaman yang berlarutan.
"Ia juga boleh menjadi bukti komitmen negara terhadap isu hak asasi manusia," katanya.
Nurul Izzah yang juga anggota parlimen Lembah Pantai berkata tiada alasan yang boleh digunakan untuk membenarkan aktiviti penghapusan etnik di mana-mana tempat dalam dunia.
"Kajian International State Crime Initiative di Queen Mary of London mengemukakan bukti yang tidak dapat dinafikan bahawa pembunuhan, penderaan, rogol, penahanan sewenang-wenangnya, dan propaganda kebencian terhadap agama etnik Rohingya di Myanmar sedang berlaku secara berleluasa," jelasnya.
I raised this issue in Cabinet last week. Will do so again this week & stand guided by decision. https://t.co/V71w7NVBNm
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) 23 November 2016
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya menarik diri daripada kejohanan yang sedang berlangsung itu.
Kata Khairy, hanya keputusan kabinet dapat memutuskan sama ada skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee boleh menarik diri atau sebaliknya.
"Sebelum ini saya telah bangkitkan isu ini di kabinet dan sekali lagi akan berbuat demikian minggu ini. Segala keputusan bergantung kepada kabinet, " katanya di Twitter, hari ini.
Skuad negara akan menghadapi perlawanan kedua kumpulan B menentang Vietnam petang ini selepas meraih kemenangan pertama ketika bertemu Kemboja, Ahad lalu.