malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Skuad hoki negara optimis kejutkan India
Diterbitkan:  Oct 25, 2016 3:14 PM
Dikemaskini: 7:17 AM
ADS

Skuad hoki negara optimis untuk melakar kejutan ketika bertemu India esok, sekali gus meneruskan rentak kemenangan pada kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Stadium Hoki Kuantan di Kuantan.

Ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen berkata bagi menghadapi pertemuan itu, pasukannya melakukan persiapan rapi sebagaimana bertemu pasukan lain pada kejohanan ini.

"Perlawanan tersebut amat penting bagi kita untuk memperbaiki ranking dunia bagi pasukan negara.

"India mempunyai ranking lebih tinggi daripada Malaysia tetapi kita memiliki perancangan, berjaya atau tidak ia bergantung kepada reaksi pemain dalam menghadapi pergerakan lawan.

"Kita menghormati India kerana mereka pasukan yang kuat dan mempunyai struktur yang baik dalam permainan tetapi saya percaya kita berupaya melakukan sesuatu," katanya pada sidang akhbar, di Kuantan hari ini.

Stephen berkata beliau gembira kerana pasukan kendaliannya mendapat rehat selama dua hari yang dilihat mencukupi untuk para pemain kembali cergas.

Ketua jurulatih India Roelant Oltmans berkata beliau menganggap Malaysia sebuah pasukan yang berwibawa pada kejohanan ini dan pastinya pertemuan kedua-dua pasukan menjanjikan persembahan menarik.

"Saya menganggap ia satu pertemuan yang serius dan kami perlu melakukan sesuatu untuk menang.
 

"Cuma kini saya tidak terlalu memikirkan pasukan Malaysia kerana perlu berhadapan dengan China hari ini," katanya.

India kini berada di ranking keenam dunia berbanding Malaysia yang berada di ranking ke-14.

- Bernama

Lihat Komen