malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
KJ: Jurulatih turut dapat manfaat bajet RM70j
Diterbitkan:  Oct 24, 2016 4:53 PM
Dikemaskini: 8:58 AM
ADS

Sebahagian daripada peruntukan RM70 juta bagi Program Pembangunan Podium Sukan Elit yang diumumkan dalam Bajet 2017 akan turut digunakan untuk program pembangunan jurulatih di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kementeriannya akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan itu untuk membayar gaji jurulatih di bawah Program Podium dan Kita Juara.

"Saya juga akan cuba cari sedikit peruntukan untuk kita tingkatkan lagi keupayaan AKK (Akademi Kejurulatihan Kebangsaan) dan perkara itu akan saya bincang dengan Dr Mohd Khairi Zawi selaku Ketua Pegawai Eksekutif ISN (Institut Sukan Negara) nanti.

"Kita bukan sahaja perlukan jurulatih (biasa) tetapi jurulatih berpendidikan yang akan mengajar jurulatih kita dan itulah yang perlu kita belanjakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kejurulatihan Kebangsaan 2016 di Seri Kembangan, dekat Kuala Lumpur hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat Jumaat lepas mengumumkan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi tujuan pembangunan sukan negara tahun depan.

Peruntukan itu termasuk RM450 juta yang dikhususkan bagi penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean Kesembilan, yang akan dikendalikan Malaysia sebagai tuan rumah.

Selain itu, sebanyak RM70 juta turut diperuntukan bagi Program Pembangunan Podium Sukan Elit untuk penyediaan atlet ke pertandingan antarabangsa.

Program Podium ialah antara lapan inisiatif di bawah Rangka Kerja Berprestasi Tinggi melibatkan atlet elit normal dan paralimpik.

Persidangan Kejurulatihan Kebangsaan selama dua hari yang bermula hari ini, dihadiri lebih 200 jurulatih berprestasi tinggi.

Ia antara lain bertujuan membincangkan amalan terbaik kejurulatihan, meningkatkan rangkaian dan hubungan kerja antara jurulatih serta memberi motivasi kepada jurulatih untuk meraih kejayaan pada Sukan SEA 2017 nanti.

- Bernama

Lihat Komen