Hanya dua bulan. Itulah tempoh bagi Sam Allardyce berkhidmat sebagai pengurus bola sepak kebangsaan England dan berakhir, semalam.
Jurulatih yang dikenali sebagai Big Sam itu dipecat Perstuan Bola Sepak England (FA) susulan dakwaan menggunakan kedudukannya untuk berunding dalam perjanjian bernilai 400,000 pound (RM2.1 juta) dan mengelak peraturan perpindahan pemain.
"FA mengesahkan Sam Allardyce telah meninggalkan jawatannya sebagai jurulatih pasukan kebangsaan England," kata FA dalam kenyataan rasmi.
"Perbuatan Allardyce seperti yang dilaporkan media tidak layak untuk seorang jurulatih pasukan kebangsaan England. Dia sudah mengakui kesalahan itu dan meminta maaf.
"Bagaimanapun, FA tetap membuat keputusan menamatkan kontraknya. Gareth Southgate akan mengambil alih tugasnya bagi empat perlawanan terdekat sehingga jurulatih baru dilantik," jelas FA.
Statement on The FA's decision to part company with @England manager Sam Allardyce: pic.twitter.com/WKQiMdMw4J
— The FA (@FA) 27 September 2016
Keputusan FA tersebut susulan pembongkaran The Telegraph berhubung skandal memberi nasihat bagaimana untuk mengelakkan peraturan perpindahan serta meniru suara pendahulunya, Roy Hodgson.
Allardyce, 61, dirakam memberi nasihat kepada seorang lelaki yang mendakwa wakil sebuah syarikat dari Asia Timur dengan mengatakan ia tidak mustahil untuk "mengelak" peraturan FA yang menghalang pihak ketiga daripada memiliki pemain.
Bekas pengurus Sunderland itu diangkat sebagai pengendali England pada 22 Julai lalu dan hanya sempat mengemudi skuad Three Lions dalam satu perlawanan.