malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Satu lagi pingat dalam genggaman Malaysia
ADS

Pasukan boling wanita kebangsaan berpeluang memenangi sekurang-kurangnya satu pingat perak dalam acara berpasukan lima pemain wanita pada kejohanan Boling Tenpin Asia ke-24 yang berlangsung di
SCAA Bowling Centre di Hong Kong hari ini.

Pasukan itu, yang dibarisi Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Victoria Chin,
Shalin Zulkifli, Esther Cheah dan Sin Li Jane, meraih 1,058 mata untuk menduduki tangga kedua dengan jumlah mata 3049, hanya 35 di belakang juara bertahan, Korea Selatan, selepas tamat blok pertama.

Pemenang pingat emas perseorangan Korea Selatan Jung Da Wun mengetuai rakan sepasukannya, Baek Seung Ja, Hong Hae Ni, Son Hye Rin dan Jeon Eun Hee untuk menamatkan blok pertama setelah meraih 1,052 mata dan menduduki tangga teratas dengan mengumpul 3,084 mata.

Pasukan Singapura, yang terdiri daripada Joey Yeo, Geraldine Ng, Jasmine Yeong-Nathan, Bernice Lim dan Daphne Tan mengikuti rapat dengan 2,978 mata untuk menduduki tangga ketiga.

Dalam bahagian lelaki, pasukan kebangsaan perlu melipatgandakan usaha untuk meningkatkan kedudukan mereka dalam blok kedua esok.

Dalam blok pertama hari ini, pasukan kebangsaan, yang terdiri daripada
Muhammad Nur Aiman Muhammad Khairuddin, Muhammad Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Zulmazran Zulkifli dan Timmy Tan sekadar mampu menduduki tangga kesembilan dengan 2,950 mata.

Skuad Jepun, yang dianggotai Tomoyuki Sasaki, Yuhi Shinbata, Takuya
Miyazawa, Shogo Wada dan Shusaku Asato menduduki tempat teratas dengan 3,203 mata, manakala pasukan Korea Selatan, yang dibarisi Kang Hee Won, Kim Kyung Min,

Cha In Ho, Hong Hae Sol dan Park Jong Woo mengumpul 3,165 mata untuk menduduki tempat kedua.

Pasukan wanita akan menyambung aksi mereka dalam blok kedua yang mengandungi tiga perlawanan pada tengah hari selepas pasukan lelaki mengakhiri blok kedua mereka pagi esok.

-Bernama

Lihat Komen