malaysiakini logo
story-image
ADS

Pasukan Pahang berikrar akan beraksi seperti berada di pentas final pada perlawanan terakhir Liga Super Oktober ini dalam misi untuk mengelakkan pasukan itu tersingkir ke Liga Perdana musim hadapan.

Ketua jurulatihnya Razip Ismail berkata keazaman itu terpahat selepas
pasukannya mempamerkan semangat juang yang tinggi ketika menumpaskan Pulau Pinang 1-0 malam tadi sehingga membolehkan mereka mengutip tiga mata berharga di halaman sendiri.

"Kami catat kemenangan pada malam ini (malam tadi) tetapi saya akui ia
satu perlawanan yang sukar buat Pahang. Tugas kami belum lagi selesai kerana Pahang belum selamat, kami ada satu perlawanan yang perlu dimenangi," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Pulau Pinang di Stadium Darul Makmur di Kuantan malam tadi.

Razip berkata antara pendekatan perlu diambil dalam usaha memantapkan lagi skuad Tok Gajah itu adalah dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bersama pasukan yang dirasakan sesuai.

"Dalam tempoh rehat selama sebulan selepas ini, kami akan melakukan pelbagai persiapan...sudah pasti beberapa perlawanan persahabatan akan diatur dalam tempoh rehat yang agak panjang ini. Kami mahu supaya pemain meneruskan momentum kemenangan dan sentiasa konsisten di atas padang," katanya.

Razip berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati persembahan pemain Pahang termasuk aksi malam tadi walaupun situasi sedikit mencemaskan di babak kedua perlawanan itu.

"Pada separuh masa kedua, pemain kami berasa tertekan dengan corak permainan pasukan Pulau Pinang yang agresif. Namun, barisan pertahanan dan penjaga gol kami berjaya mengekang serangan pihak lawan dengan baik sehingga tamat masa perlawanan," katanya.

Kemenangan pasukan Pahang malam tadi membolehkan skuad Tok Gajah itu kini menghuni tangga ke-10 di hadapan Pulau Pinang dan Terengganu apabila berjaya mengutip 20 mata.

Skuad Tok Gajah itu bakal berhadapan dengan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dalam perlawanan terakhir pada 22 Oktober ini.

-Bernama

Lihat Komen