malaysiakini logo
story-image
ADS

Ke hadapan adindaku Chong Wei,
Kelmarin aku melihat engkau melompat betul-betul kegembiraan saat lawan tegarmu - Lin Dan - rebah di gelanggang kami benar-benar gembira.

Kegembiraan itu bukan saja untukmu malah untuk kami seluruhnya.

Kami sudah penat berseteru daripada hal-hal yang besar hingga isu remeh dan sepele, atau tentang di mana letaknya duit 1MDB, atau nama, asal-usul serta mazhab Ultraman.

Justeru ketika kau memenangi perlawanan menentang Lin Dan kami gembira bersama-sama. Kata sesetengah orang sukan menyatukan umat manusia.

Semalam, di saat kau sugul dan sebak selepas gagal lagi membawa pulang pingat emas ke Kuala Lumpur, kami juga berkongsi rasa denganmu. Berat mata memandang penat lagi bermain di gelanggang.

Kita sudah berkenalan bertahun-tahun. Engkau melangkah naik satu demi satu anak tangga sehingga menjadi pemain nombor satu dunia.

Lalu kau terjatuh jauh ke jurang paling bawah. Tapi kau tak mengalah, malah melawan. Bukan dengan kata-kata - seperti sesetengah orang yang hanya menjual janji pada setiap pilihan raya atau terdesak diasak rakyat - malah membuktikannya dengan perbuatan.

Dan engkau sekali lagi berada di puncak ranking dunia. Dan Lin Dan menjadi antara penghalang untuk engkau bergelar juara di Brazil sana. Kemudian datang pula Chen Long.

Taufik Hidayat, Peter Gade dan lain-lain sudah menjadi sebahagian daripada sejarah. Lalu kau dan Lin Dan menjadi perhatian dunia.

Di separuh akhir Olimpik lalu separuh daripada Tembok Besar China kauruntuhkan bersama Lin Dan. Separuh lagi berada di depan laluanmu bersama susuk Chen Long.

Adindaku Chong Wei,
Memang kita tidak tahu pun berapa lama Tembok Besar itu akan bertahan. Justeru kau rebah di perlawanan akhir. Namun rebahmu rebah yang bermaruah. Rebah melawan habis-habisan. Rebah si pemberani yang sangat kami perlukan di dunia luar gelanggang badminton. Untuk berani menyaman akhbar asing yang 'berbohong' misalnya.

Bertemu Chen Long nasib adalah bagai jongkang-jongket. Kadang-kadang kaumenang, kadang-kadang Chen Long menang. Maka tiada sesiapa sepatutnya boleh berlagak atau menjadi angkuh tak tentu fasal.

Dan takdirnya engkau tewas sekali lagi di perlawanan akhir. Ia memang takdir tapi bagi sesetengah orang yang sinis, mereka berkata tewasmu itu kerana ada seorang dua tokoh yang tiba-tiba menghantar warkah dan kata-kata semangat kepadamu.

Selepas perlawanan itu orang tidak lagi bercakap tentang skil atau kesungguhan. Tetapi orang bercakap tentang harta kau yang khabarnya RM300 juta dan bukan tentang RM100 juta yang hilang.

Hari ini orang lebih rela percaya kepada berita-berita dibawa media sosial daripada memaksa akal fikiran bekerja sedikit lebih untuk mencari kebenaran.

Maka berlaku kejadian-kejadian 'khurafat' berleluasa. Misalnya status dimuat naik lima atau enam tahun lalu - malah berdekad lalu - diulang siar sekali lagi sehingga ia menjadi seakan-akan baru terjadi. Untuk menjustifikasikan amalan itu kami pun meletakkan kata-kata "copy paste dari tingkap sebelah". Maka terhindarlah kami daripada segala dosa dan noda.

Di sini, aku nak berterima kasih kepada kau. Di sebalik menang kalah kau di gelanggang, masih ada hubungan "cinta-benci" antara kita. Bagai Jho Low dengan 1MDB atau Tengku Mahkota Johor dengan FAM.

Chong Wei adindaku,
Akhir sekali aku ucapkan terima kasih atas sumbanganmu sejak dulu hingga kini. Saat digelanggang kami bersatu sebagai warga Malaysia menyokong dan mendoakan kejayaanmu.

Tidak, kami tidak disatukan oleh sukan. Sukan setakat ini tidak menyatukan kerana di sebalik sorakan dan harapan itu kami sekadar melupakan seketika perbezaan-perbezaan yang banyak.

Sejurus selepas pertarunganmu yang seru itu berakhir kami akan kembali menjadi diri kami yang sebelumnya - mencari-cari sebab untuk berbeza dan pada ketika tertentu berbeza pada perkara yang tidak perlu. Atau kami menjadi pentafsir lagu-lagu Madonna serta Linkin Park yang tawaduk.

Dan sesungguhnya kita sedang bercinta, adindaku. Kita bercinta dan resah serta gayat melihat masa depan kekasih yang sama - Malaysia.

Ikhlas,
Mat Dan

Lihat Komen