malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Berdepan PDRM, T-Team turun tanpa Maiga
ADS

Pasukan T-Team akan turun tanpa khidmat pemain pertahanan import, Maiga Abdullav apabila berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka malam esok.

Maiga terpaksa direhatkan kerana menjalani penggantungan automatik selepas mengumpulkan dua kad kuning.

Namun penolong jurulatih T-Team Mohd Azhari Salim percaya bekas pertahanan pasukan Harimau Muda, Amir Zafran mampu mengambil alih tugas yang ditinggalkan itu.

Azhari berkata semangat skuad itu kini cukup tinggi untuk memastikan mereka kekal dalam saingan Liga Super selepas melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

"Apapun buat masa ini, pemain harus melupakan kempen Piala Malaysia buat seketika untuk memberikan tumpuan kepada saingan liga," katanya.

T-Team kini mengumpul 20 mata untuk berada di kedudukan ketujuh liga, terikat mata yang sama dengan PDRM dan hanya berkelebihan dua mata daripada pasukan kedua tercorot liga, Terengganu.

Azhari berkata T-Team perlu menang malam esok serta baki empat perlawanan yang lain untuk berada dalam kedudukan yang lebih selesa, sekali gus memastikannya kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

"Walaupun bermain di gelanggang lawan, T-Team yakin mampu menjinakkan PDRM malam esok," katanya.

Sebagai rekod, T-Team dan PDRM seri 1-1 dalam pertemuan di pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada awal musim.

-Bernama

Lihat Komen