malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kim Swee tangguh umum senarai pemain
Diterbitkan:  Aug 23, 2016 3:43 PM
Dikemaskini: 7:49 AM
ADS

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menangguhkan pengumuman senarai rasmi pemain untuk panggilan skuad kebangsaan, Harimau Malaysia bagi kem latihan pusat bermula 29 Ogos ini.

Mengesahkan penangguhan itu, beliau berkata senarai tersebut hanya akan diumumkan pada Khamis ini.

"Senarai awal seramai 45 pemain dalam radar saya untuk dipanggil bagi kem latihan pusat skuad kebangsaan kali ini sebenarnya sudah pun dikenalpasti.

"Namun saya terpaksa menangguhkan pengumuman senarai pemain untuk dipanggil ini sehingga selepas perlawanan Liga Super malam esok kerana terdapat satu atau dua posisi yang belum dapat saya muktamadkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kim Swee sepatutnya mengumumkan senarai pemain berkenaan pada hari ini tetapi membuat keputusan menangguhkannya sehingga Khamis kerana mahu membuat penilaian terakhir.

"Ini disebabkan saya perlu melakukan beberapa perubahan di kalangan pemain selepas empat pemain mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa manakala beberapa pemain lain daripada senarai terdahulu mengalami kecederaan," jelasnya.

Terdahulu, skuad Harimau Malaysia menerima tamparan hebat selepas empat pemain JDT termasuk pemain utama negara, Safiq Rahim bersara daripada skuad kebangsaan, bulan lalu.

Panggilan skuad kebangsaan kali ini adalah sebagai persiapan untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September depan.

Lihat Komen