malaysiakini logo
story-image
ADS

Dua kemenangan pada perlawanan lalu menjadi suntikan semangat buat pasukan Kedah berdepan kunjungan JDT II di Stadium Darul Aman, malam ini.

Namun, apa yang meresahkan pengendali skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe, adalah kerapuhan benteng pertahanan dan prestasi penjaga gol yang masih tidak konsisten.

"Misi kita pada kempen Piala Malaysia cukup penting kerana pihak pengurusan dan penyokong sangat mengharapkan Kedah merangkul gelaran juara.

"Jadi langkah demi langkah kita hadapi dan malam ini kita sedar JDT II mempunyai barisan pemain yang tidak kurang hebat berbanding pasukan JDT," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Berdasarkan lima perlawanan lalu Kedah dibolosi dengan 11 jaringan pihak lawan termasuk kekalahan besar 0-5 bertemu JDT dalam saingan Liga Super 16 Julai lalu.

Helang Merah juga tewas 3-4 kepada Pulau Pinang pada Selasa lalu dan kini berada di kedudukan keempat Liga Super dengan kutipan 19 mata melalui 15 perlawanan.

Sebelum ini Kedah mencapai kemenangan mengatasi Sarawak dan T-Team.

Barisan pemain dirombak

Cheng Hoe berkata, kemenangan di Alor Setar malam ini dapat memastikan pasukannya layak lebih awal ke peringkat suku akhir.

"Kita lihat daripada lima perlawanan terakhir prestasi pemain di posisi pertahanan dan penjaga gol menjadi masalah yang besar kepada pasukan kita.

"Kita tidak dapat mengekalkan pertahanan yang kukuh sehingga dibolosi dengan jaringan yang agak banyak.

"Saya berharap malam ini barisan pemain pertahanan dapat memberi tumpuan dan keyakinan yang tinggi untuk mengawasi serangan lawan," katanya.

Tambah beliau, pemain yang diturunkan berdepan skaud Harimau Selatan itu juga akan dirombak dengan mempetaruhkan barisan pemain utama.

"Ya kemungkinan besar perubahan pemain akan dilakukan dengan memasukan pemain pilihan utama berbanding perlawanan lalu.

"Bukan senang untuk buat giliran pemain kerana kita perlu turunkan pemain yang tidak sama kualitinya dengan pemain utama," katanya sambil menuntut pemain merantai pergerakan penyerang berbisa JDT II, Paulo Rangel.

Lihat Komen