malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Musim ini Nicol mahu gelaran nombor satu kembali
ADS

Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David memasang impian untuk bangkit kembali dan merampas semula gelaran nombor satu dunia musim ini.

Bekas dunia nombor satu yang kini diletakkan sebagai pemain nombor empat dunia merampas kembali ranking teratas pada Ogos 2006 apabila mempertahankan gelarannya selama sembilan tahun (109 bulan) sehingga September 2015.

"Buat masa sekarang, saya menumpukan perhatian kepada latihan dan membina rentak supaya dapat mengekalkan prestasi dan sentiasa konsisten. Saya mengaku bahawa prestasi saya tahun lepas tidak begitu konsisten.

"Sebab itulah latihan musim ini sangat penting. Semua pemain menyimpan impian untuk menduduki status teratas dunia.

"Itulah sebab mengapa kami (pemain skuasy) menjalani latihan untuk menduduki (gelaran nombor satu dunia)," kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu pada sidang media oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mengenai Jemputan Skuasy Wanita 2016 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Acara itu ialah sebahagian daripada program SRAM bagi pemain-pemain utama negara sebelum musim baharu skuasy 2016-2017 bermula.

Jemputan Skuasy Wanita SRAM 2016 akan bermula esok sehingga 31 Julai di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Turut menyertai kejohanan ialah pemain nombor lapan dunia Omneya Abdel Kawy (Mesir), Joelle King (New Zealand) (nombor 9), Joshna Chinappa dari India (nombor 10) dan bekas pemain nombor dua dunia Jenny Duncalf dari England.

Nicol berkata, beliau juga menaruh harapan bagi menyertai kejohanan musim pertama pada Kejohanan Terbuka Hong Kong yang dijadualkan pada Ogos.

"Matlamat saya semata-mata untuk meningkatkan prestasi. Saya hanya ingin memantau bagaimana prestasi saya meningkat dalam setiap kejohanan. Selepas minggu ini, saya akan berada di Australia selama dua minggu untuk menjalani latihan dan juga beraksi dalam perlawanan persahabatan di Australia.

"Saya akan kembali ke Malaysia beberapa hari sebelum Kejohanan Terbuka Hong Kong bermula," kata Nicol.

-Bernama

Lihat Komen