malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
KJ: Formula baru selesai kemelut FAM akan diumum
ADS

Satu formula baharu bagi mencari kaedah penyelesaian permasalahan yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak kebelakangan ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata usaha itu adalah hasil pertemuannya dengan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berlangsung lebih sejam, hari ini.

"Ada beberapa perkembangan yang saya rasa sangat-sangat positif, bagi masa sedikit untuk saya bincang dengan yang lain.

"Kita akan buat pengumuman selepas ini...dua atau tiga hari lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan di kediaman Tengku Abdullah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai sekiranya akan ada pertemuan enam mata antara beliau, Tengku Abdullah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Khairy bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu.

"Saya tidak mahu komen lebih lanjut perkara itu (pertemuan tiga mata) tapi saya percaya formula ini boleh bawa semua pihak membangunkan bola sepak negara," katanya.

Sebelum ini Tengku Abdullah menyatakan kesediaan baginda untuk berjumpa dengan Khairy bagi mencari penyelesaian isu yang melanda persatuan itu.

Pertemuan itu merupakan susulan isu persaraan empat pemain Johor Darul Takzim (JDT) daripada skuad kebangsaan dan dakwaan Tunku Ismail yang mendakwa mempunyai bukti salah laku di dalam badan induk berkenaan.

-Bernama

Lihat Komen