malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Dua rekod baru kebangsaan, 10 rekod Sukma tercipta
ADS

Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 yang masuk hari ketujuh hari ini, menyaksikan dua rekod baharu kebangsaan diperbaharui dalam acara memanah.

Selain rekod kebangsaan, sebanyak 10 rekod Sukma turut diperbaharui melalui acara menembak, memanah dan renang.

Hari kedua acara memanah yang berlangsung di Padang Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan di Kuching, menyaksikan rekod baharu dicipta Farah Amalina Azhar dari Kedah dalam acara 30m recurve wanita serta M. Khambeswaran dari Pulau Pinang dalam acara 30m compound lelaki.

Dalam acara 30m recurve wanita, Farah Amalina yang mengumpul 350 mata memperbaharui rekod 349 milik Nurul Shafiqah Hashim, yang dilakukan pada Kejohanan Sirkit Kebangsaan di Lumut pada 2012.

Sementara Khambeswaran pula berjaya mengawal rasa gementarnya untuk memberi sepenuh tumpuan terhadap bidikan yang dilakukan.

Beliau berjaya membidik 360 mata untuk mengatasi rekod kebangsaan berusia lapan tahun milik Lang Hong Keong iaitu 359 mata, yang direkodkan pada Grand Prix Asia.

Sebanyak 35 pingat emas menjadi taruhan pada hari kelapan Sukma Sarawak esok, dengan acara olahraga, yang membuka saingan di Stadium Sarawak menawarkan lapan pingat emas.

Sementara itu, kontinjen tuan rumah terus menerajui carta pungutan pingat dengan 30 pingat emas, 18 perak dan 25 gangsa.

Kontinjen Selangor di tempat kedua dengan 23 emas, 36 perak dan 27 gangsa manakala juara bertahan, Wilayah Persekutuan di tangga ketiga dengan 19 emas, 23 perak dan 19 gangsa.

-Bernama

Lihat Komen