malaysiakini logo
story-image
ADS

Bayangkan pagi tadi kita bangun daripada tidur dan tiba-tiba dikejutkan dengan pembongkaran rasuah dalam bola sepak negara.

Tiba-tiba berita mengenai individu itu, orang ini, tokoh tertentu disiasat pihak berkuasa memenuhi media massa dan media sosial.

Suasana di Wisma FAM di Kelana Jaya menjadi riuh-rendah, telefon berdering-dering dan petugas keselamatan sibuk membuka dan menutup pintu pagar.

Wartawan-wartawan sukan tanah air menjadi kalut, pastinya memburu pelbagai komentar daripada segenap dimensi dan untuk bercakap mengenainya.

Penyokong bola sepak tempatan pula bersorak. Mereka gembira kerana selepas lebih 30 tahun dan berkeinginan besar untuk melihat badan induk bola sepak negara berubah, ia terjadi pada hari ini.

Itulah juga antara yang diperjuangkan barisan penyokong seperti Ultras Malaya dan sekutunya. Mereka mengingini perubahan pada FAM dengan dikemudi barisan kepimpinan baru, diberi nafas baru, dan dilenyapkan daripada kepentingan tertentu seperti didakwa sesetengah pihak.

Seorang individu yang dikatakan bekerja sebagai pelayan restoran mengejutkan ramai pihak dengan mendakwa memiliki sejumlah bukti penyelewengan badan-badan bola sepak. Pedulilah sama ada bukti itu disimpan dalam fail, e-mel atau pemacu kilat (pendrive). Yang penting, dia ada bukti.

Bangun macam biasa

Sejurus itu, laporan kepada pihak berkuasa dibuat dan tindakan menyiasat dakwaan itu segera dilakukan. Kemudian orang terlibat didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman.

FAM kemudian dirombak struktur pentadbirannya, seorang bekas pemain kebangsaan diangkat menjadi presiden apabila jawatan itu kosong kerana penyandangnya mengundur diri.

Barisan exco tertinggi juga ditukar. Tidak ada lagi exco yang - apabila ditanya wartawan - akan menjawab sekadar kenyataan "no komen" atau "maaf, saya sedang memandu".

Pemain-pemain sama ada di peringkat negeri, kelab atau skuad kebangsaan begitu komited menjalankan tanggungjawab masing-masing. Setiap seorang bersemangat tinggi bersaing dan berebut tempat dalam skuad kebangsaan.

Hari ini ialah hari yang indah, bukan. Sehinggalah anda perlu diperingatkan bahawa perkataan pertama pada tulisan ini ialah: Bayangkan.

Tanpa perkataan "bayangkan" itu tadi pagi kita sebenarnya bangun dari tidur seperti biasa saja - menghantar anak ke sekolah, polis trafik mengawal lalu-lintas yang sesak, politikus sibuk dengan sepak terajang masing-masing. Semuanya seperti semalam juga.

Tidak ada pembongkaran isu rasuah bola sepak hari ini, tidak ada juga semalam. Hampir pasti tidak ada penangkapan atau pendakwaan oleh pihak berkuasa esok.

Hanya akan ada perbincangan demi perbincangan di kalangan penggerak bola sepak. Ia kira-kira kedengaran seperti 'tahaluf siyasi' dalam parti-parti politik.

Yang tinggal adalah harapan-harapan palsu dan komen-komen saling mahu menang setiap penyokong pasukan bola sepak tempatan.

Kejap di atas lama di bawah

Misalnya penyokong budu mengejek pasukan tempe, penyokong keropok losong mengata pasukan nasi kandar. Debat di media sosial pun berterusan.

Selebihnya, kedai-kedai mamak sentiasa dipenuhi pelanggan setiap kali ada perlawanan EPL atau kejohanan lain bertaraf dunia.

Peminat bola sepak bermegah dengan kelab-kelab luar negara dan saling kutuk mengutuk dengan rakan-rakan apabila pasukan pilihan mereka menang atau sebaliknya.

Bertenanglah semua, ranking Malaysia pada 1993 di kedudukan 77 dunia dan rekod kita itu lebih baik berbanding rekod Hong Kong, Bahrain, New Zealand, Jordan dan Afrika Selatan.

Rekod itu 23 tahun sudah berlalu. Kini kita kena akur bahawa hidup ini umpama roda. Anda tidak perlu menjadi pujangga untuk menyedarinya.

Cuma dalam isu bola sepak kita, roda yang ada adalah roda dengan tayar pancit. Justeru putarannya terganggu. Kita duduk atas sekejap saja, dan terpaksa berlama-lama di bawah pula.

Marilah kita berharap dan berdoa moga-moga akan muncul adi wira menyelamatkan bola sepak negara. Tidak kiralah dia menjadi penyelamat bola sepak daripada tangan-tangan orang berkepentingan, perasuah atau mengangkat ranking Malaysia.

Mungkin wira itu kita sudah ada, tapi buat masa sekarang keadaan belum mendesak untuk dia muncul. Barangkali seperti Ultraman. Terpaksalah kita menunggu lampu di dadanya bernyala berkelip-kelip merah sebelum tampil dengan senjata rahsia.

Mungkinlah.

Lihat Komen