malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Wales tak rasa bersalah rai England kalah
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 9:19 PM
Dikemaskini: 1:34 PM
ADS

Pemain pertahanan Wales Chris Gunter menegaskan pasukannya tidak menyesal dengan aksi riang menyambut kekalahan England kepada Iceland baru-baru ini.

"Sudah tentu video tersebut bukannya menunjukkan kami tidak menghormati sesiapa," katanya mempertahankan tindakan pemain Wales bersorak meraikan kemenangan Iceland.

Klip video itu tersebar meluas di media sosial sehingga mencetuskan polemik sama ada Wales bersikap biadab terhadap negara yang bersekutu dengannya.

Kata Gunter sesuatu yang luar biasa apabila negara kerdil - merujuk kepada Iceland - dapat mara ke peringkat lebih jauh dalam kejohanan utama dunia ketika mereka tidak diberi harapan yang tinggi pada awalnya.

Dengan kekalahan England kepada Isnin lalu itu, Wales menjadi satu-satunya pasukan dari Britain yang layak ke pusingan suku akhir.

Kata Gunter ramai pemain Wales berkawan dan menjadi sekutu dalam kelab sama di EPL.

Menurut pemain pertahanan Reading itu ada perasaan teruja pada pemain Wales selepas wisel penamat ditiup pengadil.

"Ada perasaan bangga pada kami kerana masih kekal dalam saingan Euro," katanya.

Rakan Gunter, Neil Taylor - bermain bersama kelab Swansea City - berkata kegembiraan pemain Wales dalam klip video berkenaan boleh diterjemah sebagai kegembiraan mereka menjadi satu lagi negara yang membuat kejutan di Euro.

"Iceland antara pasukan yang tidak diletakkan harapan tinggi. Saya mengenali Gylfi Sigurosson (pemain tengah Iceland) kerana kami bersama dalam kelab Swansea.

"Dia menceritakan perihal negaranya dan semua mengenai mereka. Sangat hebat rasanya apabila kami menyaksikan Iceland layak ke suku akhir pada kejohanan kali ini," katanya.

 

 

Menurut Taylor pemain Wales juga tahu Iceland berjaya melakukan yang terbaik untuk menang.

Sementara itu, Gerath Bale mengajak penyokong England supaya turut menyokong skuad kebangsaan Wales pada perlawanan seterusnya.

"Kami sangat gembira menjadi satu-satunya wakil Britain ke suku akhir. Ia bermakna kini waktunya kami bersinar dan pencapaian ini menakjubkan.

"Prestasi kami ketika bertemu Ireland Utara adalah buruk, tetapi kami berjaya dengan menunjukkan semangat berpasukan dan karakter yang betul," katanya.

Justeru, bintang Real Madrid itu mengajak seluruh penyokong England bersatu menyokong Wales selepas skuad kebangsaan mereka tersingkir.

Lihat Komen