malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Skuad memanah pilih Korea Selatan sebelum ke Rio
ADS

Skuad memanah recurve lelaki negara bakal menyertai latihan persediaan fasa akhir di Korea Selatan, awal bulan depan sebelum menghadapi Sukan Olimpik Rio di Brazil, Ogos ini.

Jurulatih kebangsaan, Lee Jae Hyung menegaskan latihan persediaan dari 2-20 Julai ini di Kelab Memanah Kolon, amat penting dalam memantapkan lagi persembahan trio pemanah negara, Haziq Kamaruddin, Khairul Anuar Mohamad dan Muhd Akmal Nor Hasrin.

Beliau berkata kelab berkenaan menjadi pilihannya memandangkan mereka pernah melatih beberapa pemanah terkemuka dunia seperti juara dunia 2007, Lee Chang-hwan yang turut membantu negaranya meraih emas dalam acara berpasukan pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing.

"Kita tidak mungkin dapat teman selatihan dengan atlet Olimpik Korea namun bagi saya dapat berlatih bersama pemanah amatur Korea di kelab berkenaan sudah cukup baik. Malahan persembahan pemanah amatur mereka adalah lebih baik daripada pemanah kita," kata Lee.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa Persatuan Kebangsaan Memanah Malaysia (NAAM) bersama media di sebuah hotel, malam tadi.

Lee menjelaskan skuad negara akan kembali ke tanahair pada 21 Julai sebelum berlepas ke Brazil pada 24 Julai bagi latihan penyesuaian di venue pertandingan iaitu di Sambadrome yang merupakan kawasan perarakan terkemuka di negara Amerika Selatan itu.

"Saya difahamkan jarak antara papan sasaran dengan platform agak tinggi selain kita turut berdepan tiupan angin yang tidak menentu kerana kita bakal beraksi di kawasan terbuka," kata Lee yang fasih berbahasa Melayu.

Sukan Olimpik Rio akan bermula 5 hingga 21 Ogos ini.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Mohamad Yazid Yahya berkata Korea Selatan menjadi pilihan persatuan berkenaan kerana negara berkenaan diketahui umum merupakan kuasa utama dunia dalam sukan memanah.

Haziq, Khairul dan Muhd Akmal meraih tiket ke Sukan Olimpik Rio selepas menduduki tangga ketiga pada Kejohanan Kelayakan Olimpik di Antalya, Turki, bulan lepas.

Khairul turut akan beraksi dalam acara individu pada Sukan Olimpik Rio selepas meraih pingat emas pada Kejohanan Asia di Bangkok, tahun lepas.

-Bernama

Lihat Komen