malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Gerrard: England gagal kerana 'budaya takut'
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 5:12 PM
Dikemaskini: 10:07 AM
ADS

Bekas kapten England, Steven Gerrard mendakwa kewujudan 'budaya takut' menjadi punca kegagalan skuad The Three Lions, termasuk kekalahan mengaibkan mereka kepada besar Iceland, Isnin lalu.

Tewas pada saingan 16 pasukan terbaik itu terus disusuli dengan peletakan jawatan Roy Hodgson beberapa minit selepas wisel penamat ditiup pengadil di Stadium Allianz Riviera, Nice.

Pada sidang media di Chantilly keesokan harinya, Hodgson menegaskan skuad England akan pulih daripada kekalahan mengejut itu bersama pengurusan baru.

Bagi Gerrard, dia percaya England tidak akan bertambah baik selagi pemain berasa tertekan dengan harapan dan kekecewaan lalu.

"Saya tidak dapat terima apabila dikatakan masalah bola sepak England adalah kerana pemain tidak cukup berkualiti," katanya dalam kolum disiarkan harian Telegraph.

England menjadi sasaran kritikan dan ketawa peminat bola sepak selepas mereka tumbang di tangan pasukan kerdil, Iceland dengan jaringan 1-2.

Kemenanan itu juga membawa Iceland bersaing di peringkat suku akhir dan bertemu Perancis pada jam 3 pagi Ahad ini.

Pada perlawanan itu, Wayne Rooney menjaringkan gol tunggal mereka melalui sepakan penalti pada minit keempat, namun jaringan Ragnar Sigurdsson dan Kolbeinn Sigthorsson juga menyusul tidak lama kemudian.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan permainan England lembap dan tidak bersemangat, jarang mengancam untuk mencari gol penyamaan.

Apabila panik kecewa melanda

Menurut Gerrard setiap kali England tersingkir daripada kejohanan utama dunia, alasan sama terkeluar bagi menjelaskan kegagalan berkenaan.

"Mengarut. Anda memberitahu saya bahawa kita tidak mempunyai pemain berbakat untuk menewaskan Iceland? Kita gagal kerana pemain dan liga mereka lebih baik daripada kita?

"Kita gagal dengan teruk kerana lemah membuat keputusan, gagal bertindak balas terhadap keadaan semasa ketika mereka mula menyerlah dan kita melakukan kesilapan berulang kali," katanya.

Apabila England ketinggalan, kata Gerrard, fikiran pemain terganggu dengan dan tenggelam punca mencari jawapan untuk menguasai semula perlawanan.

Dalam situasi panik, katanya, kekecewaan pun melanda.

"Anda buntu dan berhenti melakukan perkara-perkara yang anda tahu dan perlu. Anda mula bermain dengan terpaksa, melakukan hantaran salah, melakukan percubaan dari kawasan tidak sepatutnya dan membiarkan kerisauan menguasai hingga gagal melakukan perkara mudah.

"Pada masa sama tidak ada persekitaran menyenangkan dalam pasukan kebangsaan. Sentiasa melelahkan. Ada ketakutan di dalamnya dan itu tidak ditangani," jelasnya.

Pada Euro 2016 menyaksikan skuad England menurunkan beberapa pemain baru dan segar dengan prestasi cemerlang di peringkat EPL.

Lemah tak terjangka

Bagaimanapun, Gerrard berkata terdapat tekanan jau lebih besar bagi pemain apabila mewakili skuad kebangsaan.

"Ia adalah tahap yang berbeza bagi kelab. Di luar skuad kebangsaan, jika anda gagal perlawanan besar biasanya kesan itu tidak terlalu lama.

"Anda boleh menumpukan semula perhatian dengan cepat. Bersama England, anda tahu peluang anda (boleh) hilang selama dua tahun dan kritikan pula lebih hebat. Anda sedar seluruh mata di dunia melihat anda," katanya.

Sementara itu, kapten Manchester City Vincent Kompany bersetuju dengan penilaian Gerarrd dan menjelaskan dia tidak mengiktiraf persembahan England berdepan Iceland sebagai barisan pemain yang kerap beraksi di EPL.

"Saya terkejut," kata Kompany yang juga penganalisi ESPN untuk Euro 2016 yang menulis dalam The Times.

"Saya tidak menjangkakannya. Saya fikir England akan menunjukkan kualiti mereka kepada Iceland, tetapi apa yang saya lihat satu kegagalan berpasukan yang keterlaluan.

"Saya tidak tahu bagaimana keadaan itu terjadi. Apa yang saya tahu ialah apabila orang mengatakan pemain tidak cukup baik, mereka silap. Saya telah menghabiskan masa bertahun-tahun menentang pemain-pemain itu (di EPL).

"Adakah anda mengatakan bahawa Harry Kane, Raheem Sterling, Rooney, Joe Hart, Daniel Sturrdge, Jack Wilshere dan lain-lain tidak cukup baik?

"Mereka adalah jauh lebih baik daripada Iceland. England merupakan skuad terkuat di Euro 2016 tetapi apa yang berlaku pada hari Isnin itu adalah satu kesan gangguan psikologi," katanya.

Lihat Komen