malaysiakini logo
story-image
ADS

Juara Liga Super, JDT meneruskan hasrat untuk mendapatkan pemain tengah Selangor, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham apabila menghantar permohonan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada 23 dan 27 Jun lepas.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Mohd Fahmy Yahya menerusi entri terbaharu dalam laman Facebook JDT; The Southern Tigers semalam, mengesahkan mereka kini sedang mengadakan rundingan rasmi dengan FAS untuk mendapatkan khidmat pemain tengah skuad Harimau Malaysia itu.

Mohd Azrif sebelum ini, meminta FAS melepaskan beliau bagi membolehkannya menyertai JDT, sambil menambah bersedia menebus baki nilai kontrak beliau bersama FAS berjumlah RM720,000.

Pengurus skuad Liga Super Selangor, Amirudin Shari bagaimanapun dilaporkan bertegas FAS tidak akan melepaskan Mohd Azrif pada pertengahan musim, namun bersedia berbuat demikian selepas berakhir saingan Liga Malaysia musim ini.

Isu perpindahan Mohd Azrif ke JDT bukan perkara baharu memandangkan pemain berkenaan pernah menyatakan hasrat menyertai skuad Harimau Selatan pada awal musim saingan Liga Malaysia, namun ditolak pengurusan FAS.

Jendela perpindahan pemain bagi pendaftaran kedua yang ditetapkan Football Limited Liability Partnership (FMLLP) yang menguruskan Liga Malaysia, dibuka dari 20 Jun hingga 15 Julai, untuk pemain asing dan tempatan.

-Bernama

Lihat Komen