malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Siapa selepas Hodgson?
Diterbitkan:  Jun 29, 2016 1:04 PM
Dikemaskini: 5:29 AM
ADS

Roy Hodgson mengambil tanggungjawab atas kekalahan England dengan pasukan kerdil, Iceland, semalam, sekali gus meletakkan jawatannya selepas teringkir daripada saingan Euro 2016.

Kini, Persatuan Bola Sepak (FA) England perlu mencari pengganti Hodgson sebagai peneraju baru dalam mempersiapkan pasukan menuju Piala Dunia 2018 dan Euro 2020.

Berikut senarai lapan calon yang dilaporkan media Inggeris sebagai individu yang mungkin disasarkan skuad The Three Lions sebagai pengurus baru mereka.


Gareth Southgate
Pengurus skuad kebangsaan England bawah 21 ini diletakkan sebagai calon paling berpotensi menggantikan Hodgson. Dia mempunyai hubungan baik dan aktif dalam FA England, namun di sisi lain prestasi Southgate ada naik dan turunnya.

Sebagai contoh, selepas membawa Middlesbrough dari liga bawahan ke saingan utama EPL, skuad muda England bawah bimbingannya sekadar menamatkan saingan kejuaraan Eropah di tangga tercorot kumpulan tahun lalu.


Alan Pardew
Pardew sempat melonjakkan prestasi kelab Crystal Palace pada separuh musim EPL 2015/16. Namun, penampilan mereka menurun ketika menuju hujung musim, bahkan terpaksa bergelut untuk menyelamatkan diri daripada zon penyingkiran.

Prestasi jurulatih berusia 54 tahun itu juga berjaya membawa anak buahnya ke perlawanan akhir Piala FA sebelum ditewaskan Manchester United.


Eddie Howe
Howe bekerja sebagai pengurus AFC Bournemouth dan dengan kecekalan tersendiri dia berjaya meningkatkan pasukan dari liga bawah hingga ke kancah EPL.

Howe berjaya mempertahankan Bournemouth untuk terus bernafas di liga utama England itu.

Jika ada tawaran bagi menggantikan Hodgson, mungkin ianya satu tawaran yang terlalu dingin buatnya ketika ini.


Arsene Wenger
Selama 20 tahun mengukuhkan posisinya sebagai pengurus Arsenal dengan kejayaan berwarna-warna tersendiri. Tiga kali membawa The Gunners bergelar juara EPL dan mempamerkan prestasi turun naik secara agak konsisten.

Namun seperti biasa, pada akhirnya anak buah Wenger kekal di tahap atasan walaupun bukan teratas.

Arsenal di bawah Wenger juga menjadi kelab digelar sebagai antara pasukan terkuat EPL. Justeru, tidak hairan jika namanya disarankan sebagai pengurus baru England.

Wenger adalah calon. Sekurang-kurangnya jika mengemudi skuad kebangsaan England dia tidak akan dibebankan dengan perkara menjengkelkan, untuk memburu trofi misalnya.

Namun, kemungkinan dia meninggalkan Arsenal adalah amat kecil. Mengapa dia perlu bersusah payah menggalas tugas untuk England?


Sam Allardyce
Allardyce awalnya pernah dipertimbang untuk menggantikan Sven-Goran Eriksson selepas Piala Dunia 2006, tetapi jodohnya dengan skuad kebangsaan England tidak kesampaian apabila Steve McClaren dipilih.

Bagaimanapun, sebagai pengurus Sunderland sejak tahun lalu dia berjaya menyelamatkan pasukannya daripada daripada tersingkir dari EPL.

Bekas pengurus Blackburn Rovers dan West Ham United itu memiliki reputasi baik sebagai pengurus kelab walaupun gaya permainan yang diterapkan sering dipersoal.


David Moyes
Paling tidak selama 11 tahun bersama Everton dan semusim mengendali Manchester United cukup memberi Moyes merasai asam garam di pentas EPL.

Ia sekali gus tidak menjadi masalah besar untuk lelaki kelahiran Scotland itu untuk membangunkan bola sepak England.

Walaupun kurang disukai ramai ketika bersama Manchester United, peminat mungkin tidak bermasalah untuk menerimanya sebagai pengurus England.


Sean Dyche
Dyche dijulukan sebagai jelmaan Eddie Howe. Pencapaian beliau dalam mengemudikan Burnley ke EPL sekali lagi tidak dapat dinafikan.

Tetapi sayangnya, Dyche tiada pengalaman mengurus pasukan di peringkat lebih tinggi daripada Bunrley.


Phil Neville
Memilih untuk bekerja dengan kelab Valencia di Sepanyol, Neville dilihat seorang jurulatih muda yang berpotensi pada masa depan.

Pemikiran, sudut pandang mengenai permainan dan pengalaman sebagai pemain masih segar dengan bekas pemain Manchester United dan Everton ini.

Namun, dalam hal-hal mengurus dia dikatakan tidak mempunyai pengalaman dan untuk menguruskan pemain kebangsan pasti menjadi cabaran besar.

Lihat Komen