malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Air mata iringi Messi tinggalkan Argentina
Diterbitkan:  Jun 27, 2016 3:32 PM
Dikemaskini: 7:38 AM
ADS

Gagal membawa Argentina menjulang Piala Copa America 2106, Lionel Messi mengumumkan persaraannya sebagai penyerang kebangsaan.

Pada aksi final di Stadium MetLife, New Jersey pagi tadi, Argentina tewas 2-4 kepada Chile melalui penentuan penalti selepas perlawanan terikat tanpa jaringan.

Messi sekali lagi gagal membawa pasukannya muncul juara selepas tiga tahun berturut-turut beraksi di pentas final.

Bukan sahaja tewas, malah bintang Barcelona itu turut gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diambilnya.

Sejurus Chile meraikan kemenangan, kapten Argentina itu kelihatan menangis dan meratapi kesilapannya sambil dipeluk oleh rakan sepasukan, Sergio Aguero dan pemain pertahanan Chile Marcelo Diaz sebagai sokongan moral.

Sepakan penalti yang dilakukan Messi ‎melewati palang gol dan kegagalan sepakan Lucas Biglia mengesahkan kekalahan mereka.

Kekalahan itu sekali gus memberi kesan buruk terhadap rekod Messi bersama skuad kebangsaan berbanding prestasi cemerlang bersama Barcelona.

"Tempoh saya bersama pasukan kebangsaan sudah berakhir. Selepas kekalahan pada empat perlawanan akhir, saya fikir pasukan kebangsaan bukan untuk saya.

"Keputusan ini untuk kebaikan semua pihak. Aksi akhir tanpa sebarang kemenangan tidak cukup," katanya.

Keputusan drastik penyerang 29 tahun itu dianggap mengejutkan kerana perjalanan kariernya dilihat masih di puncak kegemilangan khususnya bersama kelab.

Langkah yang diputuskan itu mengakhiri khidmatnya dengan rekod 55 gol dengan 112 penampilan bersama Argentina.

Rekod tersebut tetap meletakkan Messi sebagai penjaring terbanyak skuad La Albiceleste sepanjang masa.

Sebelum ini pada Piala Dunia 2014 Argentina turut tewas pada perlawanan akhir dan edisi Copa America lalu menyaksikan mereka turut tewas kepada Chile.

Lihat Komen