malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kad debit Bank Islam 'The Red Warriors' dilancar
ADS

Bank Islam Malaysia Berhad hari ini melancarkan Kad Debit-i Visa Bank Islam The Red Warriors yang bertujuan membantu pembangunan bola sepak di bawah kendalian Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Pengarah Urusannya Datuk Seri Zukri Samat berkata pihaknya menyasarkan sebanyak 50,000 kad dikeluarkan dengan fi sebanyak RM2 akan diserahkan kepada KAFA bagi pembangunan sukan tersebut di Kelantan.

"Kami komited menyumbangkan RM2 kepada KAFA bagi setiap kad debit The Red Warriors bagi setiap kad yang dikeluarkan serta yang diperbaharui.

"Ia sekali gus diharap dapat memberikan sumbangan kepada usaha pembangunan bola sepak di Kelantan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kad Debit-i Visa Bank Islam Kelantan FA The Red Warriors di Kota Baharu, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Presiden KAFA Datuk Seri Afandi Hamzah itu turut dihadiri Pengurus Negara Visa Malaysia Ng Kong Boon dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad Khairul Kamarudin.

Mengulas lanjut, Zukri berkata kerjasama antara pihaknya dan KAFA adalah adalah yang kedua melibatkan persatuan sukan di negara ini.

Beliau berkata sebelum ini, pihaknya telah melakukan kerjasama dengan Persatuan bola Sepak Malaysia (FAM) dengan melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Team Harimau.

"KAFA merupakan persatuan bola sepak negeri yang pertama yang bekerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad dengan melancarkan kad tersebut.

"Kami akan teruskan usaha dan kerjasama seumpama ini dengan persatuan bola sepak negeri lain bagi memberi serta melibatkan diri dalam pembangunan bola sepak di Malaysia," katanya.

Lihat Komen