malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
LBR: Jurulatih Kuching umrah, Padang Besar intai gelaran
Diterbitkan:  May 27, 2016 9:44 PM
Dikemaskini: 1:52 PM
ADS

 

 

Padang Besar yang mewakili Perlis mengintai peluang memenangi edisi sulung Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) apabila berdepan wakil Sarawak, Kuching pada aksi final di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam esok.

Kapten Padang Besar, Khairul Zubaidi Kasa berkata walaupun mereka dilabel sebagai pasukan pilihan berdasarkan barisan pemain sedia ada namun beliau berpandangan pasukan Kuching mampu memberikan saingan sengit.

"Kita tidak memandang mudah pasukan Kuching, mereka juga agak hebat selepas mara ke final... Insya-Allah, rakan sepasukan sudah bersedia untuk berjuang bagi memenangi trofi Liga Bola Sepak Rakyat," katanya pada sidang media praperlawanan di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya walaupun pasukan berkenaan terdiri daripada staf dan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) namun semangat berpasukan yang kukuh dalam kalangan pemain menjadi tunjang kekuatan pasukan itu menempah tiket ke final.

Dalam pada itu, kapten Kuching, Mohd Fareez Tukijo berkata ketiadaan jurulatih Sharizan Sahari yang mengerjakan umrah sejak 24 Mei lepas tidak akan melunturkan semangat pemain untuk memberikan saingan sengit kepada pasukan Padang Besar.

"Ketiadaan kapten pasukan, Ahmad Shakir Tuah dan pemain tengah Ahmad Shakir Bujang yang mengutip dua kad kuning perlawanan separuh akhir tidak akan menjejaskan rentak pasukan kerana saya yakin pemain simpanan sedia ada mampu memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan," katanya.

Padang Besar mara ke final selepas menewaskan wakil Perak, Batang Padang PKNP menerusi keputusan agregat 5-4 manakala Kuching mencatat kemenangan agregat 3-2 ke atas Temerloh dalam satu lagi aksi separuh akhir, 15 Mei lepas.

Juara LBR akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 serta trofi LBR.

LBR dilancarkan pada 13 Sept tahun lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan antara lain bertujuan memberi peluang kepada pemain di peringkat daerah untuk bersaing secara berstruktur dalam suasana penganjuran profesional.

Kejohanan berkenaan disertai 110 pasukan daerah dari seluruh negara menerusi format liga mengikut lapan zon - Tengah satu dan dua, Utara, Selatan, Timur, Barat, Borneo Satu dan Dua, membabitkan lebih 500 perlawanan yang menggunakan format timbal balik.

 

Lihat Komen