malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Bekas bintang MU teruja lihat kedatangan Mourinho
Diterbitkan:  May 27, 2016 2:00 PM
Dikemaskini: 6:44 AM
ADS

Satu daripada tugas utama untuk Jose Mourinho di Old Trafford ialah mengembalikan "mentaliti kemenangan" - bukan saja di kalangan pemain malah kakitangan sokongan.

Nasihat itu diberikan orang lama di Manchester United sendiri, iaitu Rio Ferdinand.

Sebagai reaksi awalnya terhadap pelantikan Mourinho Ferdinand berkata kemasukannya ke MU adalah tugas paling menarik dan mencabar kepada pengurus berprofil tinggi itu.

"Perkara pertama perlu dilakukannya ialah mengembalikan mentaliti kemenangan ke kelab MU.

"Dapatkan semula ramuan ini di kalangan pemain serta orang lain yang bertugas di sebalik tabir.

"Berikan mereka keyakinan itu supaya ia hidup semula dalam kelab kerana ia amat penting," katanya.

Kenyataan itu dimuat naik Ferdinand di akaun Facebooknya malam tadi.

Mourinho, 53, dilantik mengisi jawatan pengurus MU bagi menggantikan Louis Van Gaal yang ditamatkan kontraknya beberapa hari lalu.

Bagai haiwan cedera

Dikenali sebagai pengurus yang gemarkan kontroversi rekod Mourinho memang kelihatan cemerlang. Dia pernah membawa banyak kelab menjuarai Piala Liga Juara-juara yang berprestij.

Namun di sebalik itu fakta yang kurang disedari ialah, kejayaan Mourinho di sesebuah kelab biasanya tidak berpanjangan, sebaliknya hanya pada tempoh beberapa musim yang singkat.

Penganalisis berpendapat rejim latihan dan taktikal yang menjerihkan oleh Mourinho sebaliknya 'memusnahkan' prestasi pemain dalam tempoh jangka panjang.

Kata Ferdinand, 37, dia diberitahu "cara Mourinho" tidak akan dapat disesuaikan dengan gaya MU beraksi di padang.

Namun, katanya, kemampuan pengurus itu di musim pertama bersama Chelsea membuktikan dia tahu apa yang perlu dilakukan.

Sebagai 'haiwan yang cedera' kata Ferdinand Mourinho pasti bersungguh-sungguh mahu membuktikan kemampuannya sebagai pengurus berwibawa.

"Dia mahu segera menutup mulut media yang selalu menulis berita negatif tentang dirinya," katanya.

Satu lagi keraguan yang sering kedengaran - dan selalu ditanyakan - kepada Ferdinand ialah: Adakah Mourinho akan meneruskan tradisi MU yang sering membawa pemain muda dari semasa ke semasa.

"Buat masa ini, saya tak dapat menjawab pertanyaan itu. Hanya masa menentukan.

"Apa yang saya pasti peminat MU mendapat apa yang mereka perlukan untuk menjadi pemenang sebenar," katanya.

Lihat Komen