malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Nicol hidup peluang ke Siri Final Kejohanan PSA Dunia
ADS

Ratu skuasy Malaysia Datuk Nicol David menghidupkan kembali peluangnya dalam usaha merangkul siri final Kejohanan PSA Dunia, selepas mara ke separuh akhir kejohanan itu yang berlangsung di Burj Park di Downtown Dubai, Emiriah Arab Bersatu Khamis (awal pagi Jumaat waktu Malaysia).

Anak kelahiran Pulau Pinang itu, yang mengutip satu kemenangan dan satu kekalahan dalam dua perlawanan Kumpulan A, menewaskan pemain nombor enam dunia Nouran Gohar dari Mesir, 11-7 dan 11-9 dalam perlawanan awal pusingan ketiga dan akhir kejohanan itu yang menetapkan format tiga set.

Bercakap selepas itu, Nicol berkata kemenangan itu amat bermakna kepadanya, dan turut memuji pemain muda Mesir yang memberi persaingan sengit dalam perlawanan tersebut.

"Nouran bermain dengan pantas dan lasak, jadi saya cuba mengikut rentak saya dan gembira berjaya mendapat mata yang diperlukan.

"Saya amat berpuas hati memenangi 2-0 sebab set kedua mungkin keputusan adalah di sebaliknya," kata Nicol yang dipetik sebagai berkata di laman web kejohanan itu, www.worldseriesfinals.com.

Dalam perlawanan sebelum itu, Nicol menewaskan pemain Amerika Syarikat Amanda Sobhy 2-0 (11-6, 13-11) dalam pembukaan Kumpulan A sebelum tewas 1-2 (7-11, 11-8, 7-11) kepada pemain nombor dua dunia, Laura Massaro dari England dalam perlawanan kedua.

Mengenai perlawanan separuh akhir menentang seorang lagi pemain Mesir, Raneem El Welily hari ini, Nicol berkata beliau akan memberi tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan itu.

Raneem antara empat pemain yang layak ke separuh akhir selepas menjuarai Kumpulan B.

"Saya tahu gaya permainannya dan apa yang dijangka, saya harus membuat semua perhitungan," kata Nicol yang melakar satu persatu kejayaan dalam kejohanan pada 2011/2012 dan 2012/2013 yang kedua-dua edisi itu diadakan di London.

Lapan pemain terbaik skuasy lelaki dan wanita dalam Ranking Dunia PSA bertarung dalam kejohanan itu untuk menentukan pemenang siri akhir bagi musim 2015/2016.

-Bernama

Lihat Komen