malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kim Swee ramal cabaran sengit dari Timor Leste
ADS

Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menjangkakan anak buahnya bakal berdepan saingan sengit ketika bertemu Timor Leste Jun nanti.

Walaupun sudah bertemu pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2019 dan Piala Asia 2018 sebelum ini, Kim Swee tetap berpegang kepada prinsip "setiap perlawanan berbeza".

Beliau berkata, apa yang lebih utama ialah barisan pemain Harimau Malaysia perlu lebih persiapkan diri.

"Setiap perlawanan berbeza walaupun kita pernah bertemu sebelum ini tetapi yang penting di sini kita perlu persiapkan diri dengan lebih teratur.

"Penting (juga) untuk mengetahui kekuatan pasukan lawan tetapi pada masa sama kita perlu tahu apa yang ingin kita lakukan," katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Malaysia bakal berdepan Timor Leste dalam dua pertemuan playoff kelayakan Piala Asia pada 2 dan 6 Jun depan.

Kim Swee berkata, skuad Timor Leste dilihat akan memberi saingan sengit lebih-lebih lagi dengan kemasukan pemain naturalisasi.

"Dengan adanya pemain naturalisasi dari Brazil dalam pasukan Timor Leste saya jangkakan perlawanan nanti cukup sengit.

"Bukan mudah untuk kita jika tidak ambil serius tentang apa yang kita mahu lakukan," katanya.

Sebelum perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin Johor itu, Malaysia akan mencabar pasukan Myanmar pada aksi persahabatan antarabangsa Sabtu ini.

Pada perlawanan tersebut, Harimau Malaysa yang kini di kedudukan 174 dunia itu terpaksa melupakan khidmat Safiq Rahim yang mengalami kecederaan otot paha.

Kata Kim Swee pemain yang menggantikan tempat Safiq ialah seorang lagi pemain JDT, Amirul Hadi Zainal.

Menurut jurulatih kelahiran Melaka itu, Safiq direhatkan untuk melakukan pemulihan sekurang-kurangnya selama 10 hari.

"Safiq akan bersama kita di Johor nanti dan saya akan menilai semula tahap kesihatannya sama ada boleh beraksi menentang Timor Leste atau tidak," katanya.

Lihat Komen