malaysiakini logo
story-image
ADS

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa merestui hasrat jurulatih Kelantan Velizar Emilov Popov untuk membawa pemain import baru ke Kota Bharu.

Malah menurut Annuar, Popov diberi kuasa sepenuhnya untuk menentukan pemain pilihan bagi memperkemaskan jentera The Red Warriors (TRW) menghadapi baki Liga Super musim ini.

"Popov melaporkan hasrat untuk memperkukuhkan pasukan dengan membawa tiga import baru bulan depan.

"Saya bersetuju dan menyerahkan kepada beliau mencari dan memilih pemain yang sesuai dengan corak permainan yang beliau mahu," katanya dalam kenyataan terbaru di Facebook.

Slot pemain asing untuk skuad Kijang itu kini diisi oleh pemain dari Australia, Jonathan Mckain bagi posisi pertahanan, Jonatan Lucca (Brazil) jentera tengah dan dua penyerang iaitu Dramane Traore (Mali) dan Blazhe Ilijoski (Macedonia).

Bagaimanapun menurut sumber terdekat Kafa, bukan tiga pemain tetapi keempat-empat pemain import Kelantan bakal digantikan.

'Bintang' tapi tak komited

"Setakat ini seperti kita sedia maklum, Mckain sudah dihantar pulang ke negaranya. Popov pula dilihat tidak berpuas hati dengan prestasi Lucca, Traore dan Ilijoski.

"Dengan restu daripada presiden Kafa, Popov nampaknya akan merombak keseluruhan jentera import," kata sumber yang enggan disebut namanya.

Tambah beliau lagi, beberapa pemain tempatan juga dalam penilaian Popov untuk disingkirkan dalam pasukannya.

"Popov seorang jurulatih yang tegas dalam semua aspek dan menuntut komitmen tinggi daripada setiap pemain. Sebab itu beliau bertegas supaya pemain yang tidak berminat boleh keluar daripada pasukan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Prestasi skuad juara treble 2012 itu dilihat semakin merudum, malah sehingga pertengahan musim ini mereka berada di kedudukan kelapan Liga Super.

Sementara itu Annuar berkata, beliau akan berusaha untuk memenuhi hasrat jurulatih berusia 40 tahun dari Bulgaria itu.

Katanya, Popov juga sudah memaklumkan tahap disiplin dan komitmen pemain tertentu yang konon bertaraf bintang tetapi tidak komited.

"Saya serah kepada beliau untuk mengambil apa jua tindakan yang wajar.

"Bagi saya tiada siapa pun (pemain ) bintang. pemain yang tidak momited atau tidak berdisiplin boleh dikenakan tindakan termasuk digugurkan," jelasnya.

Apa yang lebih penting tegas Annuar, beliau mahu melihat TRW yang lebih kuat sebaik Liga Super dan Piala Malaysia bermula.

Lihat Komen