malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Zamalek keluar dari Liga Mesir kerana pengadil
Diterbitkan:  May 26, 2016 3:24 PM
Dikemaskini: 7:29 AM
ADS

Satu daripada kelab elit Mesir, Zamalek, hari ini mengeluarkan kenyataan menarik diri daripada Liga Perdana Mesir kerana membantah keputusan pegawai perlawanan yang didakwa berat sebelah.

Pengumuman itu menyebut mereka tidak berpuas hati apabila pengadil salah satu perlawanan semalam lalu dilihat sengaja memberi kelebihan kepada kelab pendahulu liga, Al Ahly.

Perlawanan dipertikaikan itu membabitkan Al Ahly melawan Al El Mokawloon. Dua daripada pemain El Mokawloon dibuang padang oleh pengadil dan perlawanan berkesudahan memihak kepada Al Ahly 3-0.

"Al Ahly diberikan hadiah juara liga (melalui keputusan pengadil berkenaan) dan dengan ini Zamalek menarik diri daripada Liga Perdana Mesir," kata kenyataan itu.

Zamalek meletakkan syarat Ketua Jawatankuasa Pengadil Mesir, Gamal El-Ghandour, mesti dipecat sebelum mereka kembali menyertai liga berkenaan.

Zamalek sebuah kelab berpangkalan di Meet Okba, Giza dan ditubuhkan pada 1911. Ia menjadi pemenang terbanyak Piala Persekutuan Bola Sepak Afrika.

Walaupun begitu Zamalek tidak memiliki stadium sendiri dan menumpang di Stadium Antarabangsa Kaherah yang turut digunakan pesaing terdekat mereka, Al Ahly.

Selepas 29 perlawanan Al Ahly berada di tempat pertama liga Mesir dengan 68 mata, diikuti Zamalek di tempat kedua dengan 60 mata.

Secara keseluruhan ada 18 kelab bersaing di Liga Perdana Mesir.

Kata Zamalek, lembaga pengarah kelab itu memutuskan tidak lagi bersaing di liga Mesir selagi Gamal dikekalkan di tempatnya.

"Keputusan itu dibuat ekoran kesilapan besar pengadil (perlawanan Al Ahly - El Mokawloon). Ketika pengadil membenarkan gol jaringan Misr Lel Makasa ke atas Zamalek (pada Ahad lalu), dua pemain El Mokawloon dibuang padang secara salah," kata kelab itu lagi.

Gamal adalah bekas pengadil dan memiliki pengalaman luas. Dia pernah dipilih mengadili perlawana Piala Dunia, Olimpik dan Piala Negara Afrika.

Lihat Komen