malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Arsenal dekat di dada Ahmad
Diterbitkan:  Apr 30, 2016 6:16 PM
Dikemaskini: 10:34 AM
ADS

Andainya pemain dan pengurus Arsenal di England sana tahu pasti mereka boleh berbangga apabila tokoh terkenal di negara ini Datuk Ahmad Maslan sebenarnya peminat kelab elit itu.

Jika selama ini tidak diketahui ramai, hari ini Ahmad mengisytiharkan kelab sokongannya secara terbuka dan pada detik istimewa pula.

Dengan mengenakan jersi The Gunners bernombor 50 dan bertulis namanya Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kelihatan berbangga dengan baju berkenaan.

Dan seperti dijangka, ia segera menjadi viral di media sosial.

Difahamkan jersi itu adalah hadiah khas daripada keluarga beliau sempena hari kelahirannya.

Menerusi akaun Twitter, Ahmad berkata, jersi Arsenal yang diberi oleh keluarga dan kek 50 tahun mengingatkan beliau banyak suka dan duka.

"Perjuangan yang mesti diteruskan," tulisnya yang turut memuat naik gambar memakai jersi dan kek.

Dalam gambar tersebut, Ahmad kelihatan sedang menggayakan jersi tersebut sambil melihat cermin.

Tweet anggota parlimen Pontian itu dikongsi sebanyak 135 pengikutnya di media sosial tersebut.

Selain itu laman Facebook Arsenal (Malaysia) turut memuat naik gambar Ahmad bergaya dengan jersi barunya itu.

Malah, gambar tersebut dikongsi lebih 3,000 pengikut facebook berkenaan yang rata-rata penyokong kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris itu.

Lihat Komen