malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Penyokong JDT, Kedah diminta patuh arahan
ADS

Penyokong pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah diminta mematuhi arahan keselamatan ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perlakuan atau perbuatan yang tidak mematuhi undang-undang.

"Antaranya, larangan membawa atau membakar bahan letupan termasuk suar, bunga api, mercun dan apa jua yang didefinisikan sebagai bahan letupan serta senjata tajam atau berbahaya yang boleh menimbulkan kekacauan kepada orang awam," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sulaiman berkata penyokong kedua-dua pasukan juga dilarang mendatangkan provokasi yang boleh mencetuskan perbalahan dan membawa sebarang peralatan yang boleh mendatangkan kecederaan seperti botol kaca, kayu dan batang besi.

Beliau berkata meminum minuman keras atau membawa masuk minuman memabukkan ke stadium juga dilarang selain melakukan sebarang bentuk vandalisme seperti membakar tempat duduk penonton dan memanjat pagar.

"Penonton turut dinasihatkan menjaga tingkah laku, moral, budaya dan etika yang positif serta semangat kesukanan yang tinggi sebelum, semasa dan selepas perlawanan," katanya.

-Bernama

Lihat Komen