malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
FAP mengadu pada polis isu 'empat jahanam'
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 8:49 PM
Dikemaskini: 12:52 PM
ADS

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) hari ini membuat laporan polis berhubung tuduhan ke atas empat pegawainya dalam Facebook.

Penolong Pengurus Pulau Pinang, L Katherisan berkata pemilik akaun itu Maxis Musterhand telah melabel Timbalan Presiden FAP, Laurence Loh, Naib Presiden FAP, Datuk Gary Nair dan Mohd Azizudin Mohd Shariff serta Setiausaha FAP, Datuk Mohd Junid Mohd Noor sebagai 'Empat Jahanam' yang menjahanamkan bola sepak negeri.

Beliau berkata pemilik akaun itu dua hari lepas telah menulis tuduhan tersebut tanpa sebarang asas dan memaki pegawai FAP dengan perkataan kesat serta memuat turun gambar pegawai FAP.

"Saya mewakili FAP telah membuat laporan polis ini sebagai penafian terhadap semua tuduhan itu dan berharap polis akan menyiasat individu atau kumpulan berkenaan," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Beliau berkata FAP akan mengambil tindakan undang-undang setelah individu atau kumpulan itu dikenal pasti oleh polis.

"Pemilik akaun itu turut meminta pegawai-pegawai FAP yang berkenaan agar berundur sebelum mereka (Maxis Musterand) bertindak.

"Kami sebagai Ahli Majlis FAP lebih mengetahui perkara sebenar yang berlaku dan menganggap ini adalah satu fitnah besar dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja," kata Katherisan.

Skuad Pulau Pinang menunjukkan persembahan kurang memuaskan pada saingan Liga Super musim ini yang membawa kepada tindakan FAP merehatkan ketua jurulatih Jacksen F Tiago (gambar) pada 6 April.

Pasukan Harimau Kumbang yang kini dikendali pemangku Ketua Jurulatih, Manzoor Azwira Abdul Wahid turut dilapor bakal menggugurkan dua pemain import mereka.

Selepas sembilan pelawanan setakat ini, Pulau Pinang berada di tangga kedua tercorot liga dengan hanya mencatat satu kemenangan, tiga seri dan lima kalah.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatash Wahid ketika dihubungi berkata kertas siasatan berhubung perkara itu akan dibuka.

- Bernama

Lihat Komen