malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Nyawa Chyna diragut ubat tidur, pil penenang?
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 6:51 PM
Dikemaskini: 10:55 AM
ADS

Bekas bintang gusti wanita Chyna meninggal dunia kerana pengambilan pil tidur dan ubat penenang berlebihan.

Perkara itu didedahkan pengurus Chyna, Anthony Anzaldo, hari ini.

"Ia 98 peratus pasti dan dua peratus spekulasi," katanya.

Anzaldo adalah orang pertama menemui mayat Chyna pada 20 April lalu.

Dia memang tinggal berjiran dengan Chyna, 46, di Redondo Beach, Los Angeles.

Mayat Chyna - atau nama sebenarnya Joan Marie Laurer - ditemui di atas katil rumah personaliti itu. Anzaldo percaya dia sudah menghembus nafas terakhir dua atau tiga hari sebelum ditemui.

Chyna, kata Anzaldo, memang diketahui menghadapi masalah insomnia dan bergantung kepada ubat untuk mengatasinya.

Chyna adalah antara penggusti wanita paling menonjol di WWE tetapi hidupnya bertukar menjadi sukar selepas meninggalkan industri berkenaan.

Lawat kubur bapa

Disebabkan tiada pekerjaan dia menceburi industri perfileman lucah.

Beberapa hari sebelum ditemui Chyna dilihat membebel sendirian dan tidak keruan di sekitar apartmennya.

Sebelum ini dia juga bergelut dengan masalah ketagihan dadah dan arak - suatu kelaziman di kalangan bintang gusti profesional.

Bagaimanapun Anzaldo berkata Chyna sudah tidak mengambil arak sejak beberapa minggu lalu dan tiada alkohol ditemui di rumahnya.

"Saya syak Chyna menjalani perubatan sendiri dan mengambil ubat lebih daripada yang perlu," katanya.

Anzaldo juga memberitahu Chyna mula bertemu dengan pakar sakit jiwa serta menghadiri sesi kaunseling bersama kumpulan menangani masalah keganasan rumahtangga.

Perubahan lain berlaku ialah lawatan dibuat Chyna ke kubur bapanya.

"Dia sedang cuba mengatasi masalah pengabaian dan keganasan daripada hubungan terdahulu," katanya.

Namun kata Anzaldo kadar ubat "berlebihan" yang dimaksudkan itu tidak bermakna Chyna menelan pil dalam kuantiti yang begitu banyak.

"Penyiasat tidak akan menemui misalnya sehingga 60 biji pil dalam perut dia," katanya.

Sementara itu koroner Los Angeles belum mendedahkan sebarang data mengenai punca kematian Chyna kerana keputusan toksikologi masih belum diperolehi.

Lihat Komen